Tian Chua

KUALA LUMPUR – Anak-anak muda yang menyertai Himpunan #Lawan Sabtu lalu  sanggup mengambil risiko turun di jalanan kerana mereka tiada pilihan untuk menyuarakan pandangan mereka terhadap krisis pentadbiran kerajaan.

Naib Presiden PKR, Tian Chua mendakwa, tiada lagi kebebasan bersuara apabila Parlimen ditutup semula hingga memaksa generasi muda memilih ke jalanan untuk menunjukkan bantahan.

“Kehadiran saya adalah untuk memberi solidariti kepada anak-anak muda kerana ambil risiko ini.

“Kita terpaksa keluar walaupun berisiko, bukan saja ditangkap atau terdedah kepada pandemik Covid-19.

“Bila semua saluran rasmi, media ditutup, Parlimen pula ditutup, rakyat tidak ada tempat menyuarakan pandangan dan membincangkan masalah negara.

“Hanya satu jalan sahaja, iaitu jalan raya,” katanya pada sidang media di luar pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, hari ini.

Terdahulu beliau bersama empat pimpinan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dipanggil ke IPD Dang Wangi untuk dirakam percakapan berhubung Himpunan #Lawan, Sabtu lalu.

Antara empat pimpinan MUDA ialah Setiausaha Agung, Amir Abd Hamid; Naib Presiden MUDA, Dr Thanussha Francis Xavier; Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat MUDA, Dr Mathen Nair; Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat MUDA, Dr Teo Lee Ken serta AJK Pusat PSM, Sharan Raj.

Tian Chua juga berkata, pihaknya hanya mahu memerangi pandemik Covid-19 dan bukannya melawan mana-mana kerajaan sama ada di Selangor mahupun Wilayah Persekutuan.

“Kita ingin dasar kerajaan yang berkesan untuk mengatasi masalah.

“Masalah sekarang ialah rakyat sudah lakukan tanggungjawab mereka, duduk rumah, tiada kerja, mereka hilang pendapatan.

“Tapi akhirnya kerajaan gagal untuk menyampaikan dasar yang berkesan untuk mengatasi masalah.

“Apa pilihan kita? Pilihan kita hanya satu saja, kita kena bangkit untuk lawan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast