KUALA LUMPUR – Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua dan empat pemimpin Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) hari ini dipanggil polis untuk dirakam keterangan berhubung perhimpunan #Lawan, Sabtu lalu.
Antara empat pemimpin MUDA ialah Setiausaha Agung, Amir Abd Hadi, Naib Presiden, Thanussha Francis Xavier, Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat, Teo Lee Ken serta Mathen Nair.
Terdahulu pimpinan MUDA yang diiringi empat peguam tiba di luar pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi kira-kira jam 11.45 pagi tadi.
Sejurus selepas itu, Tian Chua yang menaiki kenderaan berwarna putih jenis MPV tiba kira-kira jam 12.05 tengah hari tadi.
Bagaimanapun kesemua lima pemimpin pembangkang itu memasuki IPD Dang Wangi kira-kira jam 12.30 tengah hari ini.
Sabtu lalu, lebih 400 peserta himpunan #Lawan berhampiran Dataran Merdeka yang dianjurkan Sekretariat Solidariti Rakyat bagi Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.
Ahad lalu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, polis telah mengenal pasti 29 individu dan akan dipanggil melengkapkan kertas siasatan, manakala beberapa individu lain masih dalam proses dikenal pasti daripada rakaman video serta gambar.
Menurutnya, polis mendapati penganjur dan peserta Himpunan itu jelas melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN). – MalaysiaGazette