Seramai 20 suspek yang terlibat dalam parti liar dituduh di Mahkamah George Town hari ini.

GEORGE TOWN – 20 individu termasuk empat remaja bawah umur didakwa atas pertuduhan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan mengadakan parti liar di sebuah rumah banglo di Bukit Gambir di sini, pada Ahad lalu.

Mereka yang terdiri daripada 13 lelaki dan tujuh wanita itu mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Norsalha Hamzah.

Mereka ialah Muhammad Faiz Fazlee, 18; Muhammad Afiq Ali, 19; Fazrul Hisham Faizal, 19; Muhamad Danial Hakim Jamil, 20; Muhammad Isa Ramli, 20; Muhammad Aznil Mohd Azmi,20; Mohamad Muhaiman Hassim, 20, dan Mohammad Aidiel Nazeem Farihan, 22.

Sebahagian daripada 20 suspek  yang terlibat dalam parti liar dituduh di Mahkamah George Town hari ini.

Tertuduh lain, Nor Athirah Farizami Zali Zaidi, 19; Nur Umairah Mohd Rashidi, 19; Noorilyana Sufi Noorhisham, 19, Nurul Izzaty Anuar, 20; Nur Farah Wahidah Roslee, 23; Nur Amira Mohd Nasir, 24, dan Nur Farah Hanis Mohd Hazri, 25. 

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melanggar perintah PKP dengan menyertai parti persendirian untuk berhibur kira-kira 12.30 tengah malam pada 1 Ogos lalu di sebuah rumah di Bukit Gambir di sini.

Sebahagian suspek yang terlibat dalam parti liar dituduh di Mahkamah George Town hari ini.

Kesemua mereka didakwa di bawah Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

Hakim menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM3,000 kepada 16 tertuduh manakala empat remaja bawah umur dibenarkan diikat jamin sebanyak RM2,000 sementara mahkamah mendapatkan laporan Jabatan Kebajikan Masyarkat sebelum sebutan semula kes pada 7 September ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN :

Sewa banglo RM800 untuk anjur parti liar, 20 suspek ditahan

Sementara itu, di Mahkamah Majistret, kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan memiliki dadah iaitu masing-masing 0.56 gram (g) kanabis, 0.5g ketamin dan 0.6g methamphetamine di tempat dan tarikh yang sama. 

Bagi kesalahan itu, mereka dituduh di bawah Seksyen 12 (3), Seksyen 6 dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952. 

Majistret R. Manomani membenarkan 16 tertuduh dikatakan jamin sebanyak RM2,000 bagi setiap pertuduhan manakala empat tertuduh di bawah umur diikat jamin sebanyak RM500 bagi setiap pertuduhan.

Kesemua mereka didakwa langgar SOP PKP dengan sertai parti liar.

Mahkamah kemudian menetapkan 5 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu keputusan laporan kimia. 

Dalam pertuduhan berasingan di mahkamah sama, empat daripada mereka iaitu Muhammad Isa, Mohamad Muhaiman, Nor Athirah dan Nur Umairah mengaku tidak bersalah atas dakwaan mengambil dadah ketika dituduh di bawah Seksyen 15(1) ADB 1952. 

Manomani kemudiannya membenarkan mereka diikat jamin sebanyak RM1,500 setiap seorang dan tarikh 5 Oktober depan sebagai sebutan semula kes. 

Dalam pada itu di Mahkamah Majistret berasingan pula, enam daripada mereka iaitu Mohamad Fekri; Muhammad Afiq; Fazrul Hisham; Nurul Izzaty; Noorilyana dan Nur Farah Wahidah turut mengaku tidak bersalah salah atas pertuduhan di bawah Seksyen 15(1) ADB 1952.

Penolong Pendaftar Mahkamah, Muna Maria Azmi kemudiannya membenarkan Mohamad Fekri diikat jamin sebanyak RM1,500 manakala lima yang lain RM1,000 seorang dengan 5 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes. – MalaysiaGazette