Seramai 20 individu termasuk tujuh wanita ditahan dalam parti liar di sebuah banglo tiga tingkat di Taman Starhill, Bukit Gambir, Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Keasyikan 20 individu sedang leka berhibur dengan alunan muzik kuat dalam parti liar terbantut apabila rumah banglo yang disewa mereka di Taman Starhill, Bukit Gambir di sini, diserbu polis lewat malam tadi.

Bertindak atas maklumat awam sepasukan polis yang diketuai Pegawai Turus Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, Deputi Superintendan Akmal Yahaya menyerbu banglo tiga tingkat itu pada jam 12.30 tengah malam.

13 lelaki antara ditahan dalam parti liar tersebut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah IPK Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais berkata, hasil serbuan membawa kepada penangkapan 20 individu terdiri daripada 13 lelaki dan tujuh wanita.

Katanya, hasil siasatan mendapati kesemua suspek yang berusia lingkungan 17 hingga 25 tahun itu merupakan kenalan masing-masing.

DSP Akmal memeriksa beg salah seorang suspek.

“Siasatan awal mendapati mereka menyewa banglo tersebut untuk tempoh sehari dengan kadar sewa RM800 menerusi Facebook bagi kegunaan parti liar.

“Soal siasat juga mendapati wang sewaan banglo itu dibayar oleh 13 lelaki berkenaan dengan mengumpul RM70 setiap seorang sebelum menjemput wanita yang dikenali mereka untuk turut serta parti liar tersebut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dadah serta kondom antara yang dirampas polis dalam serbuan terbabit.

Dalam serbuan itu, pihak polis merampas dadah, kondom serta peralatan sistem audio.

Difahamkan, mereka yang ditahan merupakan pekerja kilang serta penghantar makanan.

Peralatan audio termasuk speaker yang dibawa suspek turut dirampas polis.

Tambah Rahimi, ujian saringan awal air kencing mendapati 12 lelaki dan lima wanita positif dadah jenis methaphetamin.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan (kesalahan kecuaian yang boleh menyebabkan jangkitan penyakit merbahaya), Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.

Banglo tiga tingkat itu disewa dengan harga RM800 sehari.

“Kami juga mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang memberikan maklumat berkaitan parti liar berkenaan selain mengalu-alukan kerjasama sama orang ramai dalam menyampaikan kegiatan jenayah kepada pihak polis,” ujar Rahimi.

Kesemua suspek yang positif dadah direman empat hari. – MalaysiaGazette