KUALA LUMPUR – Indeks nilai seunit eksport dan import Malaysia bulanan kekal mencatatkan pertumbuhan positif pada Jun 2021, masing-masing pada 1.9 peratus dan 0.5 peratus, di sebalik ketidaktentuan aktiviti ekonomi, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM) hari ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, indeks nilai seunit eksport yang tinggi ini disumbang oleh kenaikan indeks minyak galian (7.3 peratus), minyak dan lemak binatang dan sayur-sayuran (3.5 peratus) dan alat jentera serta kelengkapan pengangkutan (0.8 peratus).

“Sementara itu, indeks volum eksport merekodkan peningkatan 12.2 peratus pada bulan yang sama, didorong oleh pertumbuhan indeks bahan kimia (29.6 peratus), alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (15.4 peratus) dan minyak galian (11.3 peratus).

“Indeks volum eksport pelarasan bermusim mengembang 21.2 peratus daripada 142.6 mata kepada 172.8 mata,” tambahnya.

Berbanding tahun sebelumnya, kedua-dua indeks nilai seunit dan volum eksport meningkat 12.8 peratus.

Mengenai indeks nilai seunit import, Mohd Uzir berkata, peningkatan pada bulan Jun 2021 dipacu oleh pertumbuhan indeks minyak dan lemak binatang dan sayur-sayuran (4.4 peratus), minyak galian (1.6 peratus) dan barang-barang keluaran kilang (0.7 peratus).

Sementara itu, indeks volum import turut naik 5.5 peratus pada Jun 2021 berbanding bulan sebelum dengan kenaikan indeks volum import disumbang oleh peningkatan indeks minyak galian (20.5 peratus), makanan (13.0 peratus) dan alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (3.0 peratus).

Indeks volum import pelarasan bermusim pada Jun 2021 menambah 14.5 peratus daripada 149.0 mata kepada 170.6 mata, katanya.

Berbanding tahun sebelum, kedua-dua indeks nilai seunit dan volum import masing-masing meningkat 5.1 peratus dan 25.8 peratus.

Jabatan Perangkaan turut melaporkan terma perdagangan Malaysia mencatatkan pertumbuhan positif 1.4 peratus bulan ke bulan daripada 103.5 mata kepada 105.0 mata pada Jun 2021 sementara berasaskan tahun ke tahun, prestasi terma perdagangan Malaysia kekal positif  7.4 peratus daripada 97.8 mata pada Jun tahun lepas.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast