ministers violating SOP
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengadakan pertemuan dengan sekumpulan ahli-ahli Parlimen UMNO yang dikatakan cenderung memberikan sokongan terhadap Perikatan Nasional di Hotel Seri Pacific di sini awal pagi ini.

Beliau tiba kira-kira jam 12.30 pagi selepas menghabiskan masa kira-kira dua jam di kediaman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara.

Media yang menunggu di perkarangan hotel itu bagaimanapun tidak dapat bertemu Naib Presiden UMNO itu untuk ulasan lanjut kerana kenderaan yang membawa beliau memasuki tempat letak kereta di basement hotel berkenaan.

Terdahulu sekumpulan ahli Parlimen UMNO termasuk Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman telah berada di hotel tersebut dipercayai bagi membincangkan keputusan parti itu menarik balik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Keputusan itu diumumkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi parti itu petang Selasa.

Sidang media itu turut disertai Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dan beberapa ahli Parlimen UMNO lagi.

Alasan UMNO menarik dari dari memberikan sokongan terhadap PN dan Muhyiddin adalah rentetan daripada kemelut kerajaan dan Istana Negara berhubung pembatalan Proklamasi Darurat dan Ordinan-Ordinan Darurat.

UMNO menyifatkan keputusan PN untuk tidak membahaskan pembatalan itu sedangkan Yang di-Pertuan Agong mahu ia dibahas sebelum diwartakan sebagai mengingkari institusi diraja yang menjadi tonggak negara.

Berita lanjut menyusul. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Boleh berkumpul kat hotel..berkumpul kat rumah PM..ye laaa..kluster kayangan kan..rakyat pergi kubur pun kena denda…

Comments are closed.