Mayat bayi perempuan itu ditemui dikerumuni ikan di dalam longkang berhampiran kebun durian di Mukim 6, Pondok Upeh, Balik Pulau hari ini.

BALIK PULAU – Mayat bayi perempuan yang cukup sifat ditemui dengan keadaan dikerumuni ikan di dalam longkang berhampiran kebun durian di Mukim 6, Pondek Upeh di sini hari ini.

Mayat bayi yang masih bertali pusat itu ditemui polis kira-kira pukul 2 petang tadi selepas menerima laporan daripada seorang doktor di Hospital Balik Pulau yang mendakwa menerima pesakit wanita warga asing mengalami pendarahan pada rahim selain dipercayai menyembunyikan kelahiran.

Pegawai forensik memeriksa mayat bayi perempuan yang ditemui di dalam longkang

Difahamkan, pegawai perubatan menemui uri dalam rahimnya namun suspek enggan memberi kerjasama.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, hasil siasatan awal mendapati suspek berusia 35 tahun itu dimasukkan ke hospital berkenaan semalam selepas dia ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri serta berlumuran darah oleh majikannya pukul 6 petang.

Kamarul Rizal.

Hasil soal siasat, suspek mengaku membuang bayi di dalam longkang berdekatan rumah yang juga tempat dia bekerja susulan menyedari bayi terbabit lahir dalam keadaan tidak bernyawa di bilik tidurnya sejam sebelum dia ditemui majikannya.

“Hasil siasatan lanjut, suspek mendakwa dia berniat menanam bayi tersebut apabila menyedari tidak bernyawa namun apabila sampai berdekatan longkang dia berasa pitam lalu bayi berkenaan terlepas dari pegangannya sebelum jatuh dalam longkang.

“Dia (suspek) turut mendakwa sempat kembali ke rumah sebelum pengsan di bahagian dapur dan dibantu majikannya yang berusia 54 tahun.

“Suspek mengaku mengandung hasil hubungan dengan seorang pekerja kebun yang berdekatan dengan tempat kerjanya,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Pihak forensik melakukan siasatan di lokasi penemuan bayi tersebut.

Difahamkan, suspek bekerja sebagai penjaga warga emas dengan gaji bulanan RM1,300 dan dia menjaga bapa kepada majikannya itu sejak Februari tahun lalu.

Tambah Kamarul Rizal, Unit Forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang turut Hadri di lokasi penemuan mayat serta tepat kerja suspek bagi membantu disiasatan.

Mayat bayi perempuan yang cukup sifat itu ditemui dalam keadaan masih bertali pusat.

“Mayat bayi itu akan dibedah siasat esok selepas mendapat keputusan saringan Covid-19 dan usaha mengesan suspek yang dipercayai bapa bayi berkenaan sedang giat dijalankan.

“Suspek kini ditahan di wad hospital susulan masih mendapat rawatan lanjut,” ujar beliau.

Pihak polis membawa mayat bayi yang ditemui dalam longkang itu ke hospital untuk proses bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette