Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin keluar daripada kediamannya di Bukit Damansara, Kuala Lumpur.Foto HAFIZ SOHAIMI, 05 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menaiki kenderaan jenis Toyota Vellfire berwarna hitam kelihatan mula meninggalkan kediaman beliau tepat jam 1.26 petang tadi.

Kereta yang dinaikkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) diiringi beberapa kenderaan pengiring polis dan dipercayai menuju ke Putrajaya bagi melakukan tugas beliau sebagai Perdana Menteri.

Terdahulu sebuah kenderaan jenis Toyota Vellfire berwarna hitam dinaiki seorang Menteri kelihatan memasuki kediaman Perdana Menteri itu, kira-kira 9.40 pagi tadi.

Kereta yang bercermin gelap itu antara kenderaan rasmi seorang menteri yang pertama menemui Tan Sri Muhyiddin Yassin, pagi ini.

Bagaimanapun, setakat jam 1.30 petang tadi, masih tidak kelihatan mana-mana kenderaan Menteri Kabinet lain mahupun pimpinan politik menemui Ahli Parlimen Pagoh itu.

Sebelum ini, kediaman Muhyiddin kembali menjadi tumpuan petugas selepas Majlis Kerja Tertinggi UMNO menarik balik sokongan daripada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri, pada 3 Ogos lalu.

Bagaimanapun kediaman Perdana Menteri kembali reda daripada tumpuan media selepas Muhyiddin membuat perutusan khas mengenai kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri.

Menurut Muhyiddin semalam, beliau masih mempunyai sokongan majoriti dan isu peletakan jawatannya sebagai Perdana Menteri tidak berbangkit.

Perdana Menteri berkata, beliau telah menyembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada Rabu, bahawa sejumlah Surat Akuan daripada ahli-ahli Dewan Rakyat, yang menurut dirinya masih mempunyai sokongan majoriti.

Jelas Perdana Menteri lagi, Agong telah berkenan untuk beliau menentukan keabsahannya di Parlimen melalui undi percaya pada September ini. – MalaysiaGazette