Anggota bomba dan penyelamat yang berpakaian lengkap PPE mengeluarkan mayat seorang lelaki positif Covid-19 yang meninggal dunia semasa kuarantin kendiri di kediamannya di Petaling Jaya semalam.

PETALING JAYA – Mayat seorang lelaki warga tempatan yang disyaki meninggal dunia akibat Covid-19 di kediamannya di Taman Indah Jaya, dekat sini telah dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Pengarah JBPM Selangor, Norazam Khamis berkata, mayat mangsa dikeluarkan semalam selepas kematian mangsa berusia 41 tahun itu hanya disedari ahli keluarganya jam 12.30 tengah hari.

Mangsa telah disahkan positif Covid-19 selepas menjalani ujian calitannya pada 29 Julai lalu.

“Mangsa bersama dua lagi adiknya yang turut dijangkiti virus itu telah menjalani kuarantin di kediamannya atas arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sejurus selepas menerima keputusan ujian calitan itu.

“Keluarga memaklumkan mangsa mengalami kesukaran bernafas dan meracau kira-kira 5.30 pagi semalam sebelum didapati tidak sedarkan diri dan disyaki meninggal dunia kira-kira 12.30 tengah hari,” katanya dalam kenyataan pagi tadi.

Tambah Norazam, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Penchala telah ke kediaman mangsa sejurus selepas menerima panggilan dari ahli keluarganya untuk membantu mengeluarkan mayat.

“Anggota bomba yang tiba ke kediaman mangsa telah lengkap berpakaian pakaian pelindung diri (PPE) membantu membawa turun mayat yang berada di bilik tingkat satu rumah teres dua tingkat itu.

“Mayat lelaki itu kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.- MalaysiaGazette