Samsul Zirani serta rakannya Zawawi Md Ali kini dibelengui masalah hilang punca pendapatan akibat pusat refleksologi yang diuruskan mereka di Bandar Perrda, Bukit Mertajam masih tidak boleh beroperasi.

BUKIT MERTAJAM – “Sudah lebih lima bulan kami dibelengui masalah hilang punca pendapatan selain mengharapkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat berjumlah RM450 untuk meneruskan kehidupan” jelas Samsul Zirani Md Ariffin

Selain itu, Samsul Zirani, 36, turut mendakwa mereka sekeluarga tertekan dalam menjalani kehidupan dalam tempoh pandemik Covid-19 memandangkan dirinya dan isteri bergantung harap dengan pendapatan sebagai tukang urut di sebuah pusat refleksologi di Bandar Perda di sini.

Samsul Zirani.

Jelas Samsul Zirani, dia buntu memikirkan nasib dua orang anaknya yang masing-masing berusia dua dan empat tahun kerana bantuan berjumlah RM450 yang diperoleh daripada JKM tidak cukup buat mereka empat beranak.

“Sebelum ini kami tambah pendapatan daripada hasil sebagai tukang urut, namun sejak Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) dilaksanakan kami tidak boleh membuka perniagaan, sekali gus hilang punca pendapatan sepenuhnya.

“Bayangkan dalam RM450 itu saya perlu membeli susu, lampin pakai buang buat anak yang masih kecil itu dan ini tidak termasuk makan, minum kami, bayaran rumah, bil api serta air.

“Selama ini, kami tidak pernah meraih simpati atas kekurangan diri ini dan cuba usahakan sedaya mungkin tapi kini kami terdesak perlukan bantuan termasuk memohon kerajaan mempercepatkan operasi pusat urut serta kami,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.

Turut meluahkan masalah yang sama, Abu Hasan Mahmud, 41, berkata, kebayakan orang cacat penglihatan hanya menerima bantuan bakul makanan dan ia bukan meringankan beban mereka secara keseluruhan.

Abu Hasan.

“Memang bersyukur dapat bakul makanan tapi tidak semua dalam kalangan kami boleh masak, tambahan pula barang yang diberikan hanya barang untuk masak. Itu belum kira kos kami naik pengangkutan awam untuk pergi dapatkan bantuan yang adakalanya lebih dari kos bantuan diperoleh.

“Tidak ada pihak yang tampil bantu kami dari segi kewangan mahupun memberikan barang keperluan lain seperti ubat gigi, sabun, lampin pakai buang serta susu anak.

Tambah Abu Hasan, kehidupan orang cacat penglihatan tidak sama seperti orang biasa memandangkan mereka memerlukan teman untuk ke tempat lain dan dalam keadaan PKP ini menyebabkan pergerakkan mereka terbatas kerana rakan yang membantu mereka tinggal di daerah berlainan.

“Kehidupan kami sebagai tukang urut cacat penglihatan ubah sepenuhnya akibat pandemik ini, habis semua duit simpanan dibelanjakan demi kelangsungan hidup keluarga masing-masing,” katanya dengan nada sedih.

Mohd Rodzi.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Cacat Penglihatan Mohd Rodzi Ariffin berkata, kebanyakan ahli persatuannya bekerja sebagai tukang urut mengakibatkan mereka memerlukan bantuan sepenuhnya untuk menjalani kehidupan.

“Dalam keadaan sekarang ini bantuan kewangan yang paling merungsingkan kerana mereka perlu membayar sewa serta utiliti kedai berjumlah lebih RM1,000 sedangkan tiada hasil daripada perniagaan itu.

“Rata-rata mereka kongsi membayar sewa menggunakan wang simpanan masing-masing kerana tidak mahu kedai ini disewakan kepada orang lain.

“Kedai ini sudah menjadi tumpuan orang ramai dan jika mereka pindah bimbang tiada pelanggan sekali gus akan lebih menyukarkan pencarian rezeki,” kata Mohd Rodzi.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Mohd Rodzi di talian 017 426 7681; Abu Hasan (013 748 8359) dan Samsul Zirani (019 940 3110). – MalaysiaGazette