Op Bentang berjaya cekup 10 PATI di kawasan pesisir pantai Teluk Ramunia, Bandar Penawar, Johor.

KUALA LUMPUR – Seramai 10 pendatang asing tanpa izin (PATI) dicekup dalam “Op Benteng” kerana cuba memasuki negara ini secara tidak sah.

Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia Kem Terendak, Melaka dalam kenyataan berkata, kesemua yang ditahan berusia 22 hingga 41 tahun sembilan daripadanya adalah wanita.

“Anggota petugas di Pos Pemerhati telah mengesan pergerakan bot yang mencurigakan di kawasan pesisir pantai Teluk Ramunia, Bandar Penawar, Johor.

“Hasil daripada tindakan pantas anggota petugas telah berjaya menangkap 7 PATI yang baharu saja mendarat.

“Pasukan telah bertindak dengan mengaturgerak Tim Quick Reaction Force (QRF) ke lokasi tersebut untuk melakukan penjejakkan.

“Sekitar jam 4.30 pagi, Tim QRF telah berjaya mengesan dan menangkap tiga PATI yang sedang bersembunyi di kawasan hutan berhampiran pantai Teluk Ramunia,” katanya.

Bagaimanapun katanya, bot yang digunakan telah berpatah balik dan tidak berjaya dirampas.

Tambah kenyataan itu lagi, nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM 7,358.14 melibatkan wang tunai matawang Indonesia IDR 1842,300.00 (RM 538.14), 10 buah telefon bimbit pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM 6,820.00 serta barangan kemas.

Kesemua PATI ditahan dan dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan dan saringan Covid-19 sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia Setia Tropika, Kempas. Laporan Polis telah dibuat di Balai Polis Bayu Damai. – MalaysiaGazette