PUTRAJAYA – Bekas Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 2021/1443 Hijrah.

Setiausaha Agung Rabitah Al-‘Alam Al-Islamiy Makkah Al-Mukarramah, yang juga Penasihat Majlis Diraja Arab Saudi, As-Syeikh Dr Muhammad Abdulkarim Al-Issa pula diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa.

Pengumuman kedua-dua tokoh dilakukan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri sempena sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan tahun ini di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini hari ini.

Zulkifli berkata, pemilihan kedua-dua tokoh dibuat berdasarkan sumbangan besar mereka dalam memartabatkan syiar Islam di peringkat nasional dan antarabangsa.

Penganugerahan itu menyaksikan kedua-dua tokoh masing-masing menerima hadiah wang tunai, pingat dan sijil penghargaan.

Sambutan Maal Hijrah pada tahun ini disambut secara sederhana dengan pematuhan prosedur operasi standard yang ketat bagi mengekang penularan COVID-19.

Majlis itu turut dihadiri Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Syaikh Ismail, yang juga hakim Majlis Tilawah Al-Quran peringkat kebangsaan dan antarabangsa, pula meminta umat Islam berdoa memohon kepada Allah agar pandemik COVID-19 di negara ini segera berakhir.

“Doa adalah senjata dan umat Islam perlu sentiasa berdoa dan tidak melakukan perkara yang dianggap dosa kepada Allah SWT,” katanya yang berterima kasih kepada semua pihak atas penganugerahan sebagai Tokoh Maal Hijrah.

Beliau turut menasihati pihak yang berkaitan agar menghentikan pertelagahan dalam negara dan membantu usaha kerajaan memerangi pandemik COVID-19.

Syaikh Ismail turut mengingatkan umat Islam supaya mengamalkan konsep hijrah dengan meninggalkan perkara tidak baik dan beralih kepada yang lebih baik. – Bernama