KUALA LUMPUR – Pelawak popular, Shuib Sepahtu mengakui Allahyarham Siti Sarah Raissuddin belum menerima suntikan vaksin dan menyebabkan paru-paru isterinya rosak teruk akibat virus Covid-19.
Shuib, 37, berkata, perkara itu dimaklumkan oleh doktor dan jururawat yang merawat Siti Sarah, 36, sejak dimasukkan ke hospital pada Rabu lalu.
Dia juga mengakui membuat kesilapan apabila mengambil mudah mengenai pengambilan suntikan vaksin malah pada mula agak kurang percaya dengan pandemik itu.
Shuib memberitahu, pembantu rumah mereka yang terlebih dahulu dijangkiti Covid-19 telah meninggal dunia pada Jumaat lalu.
“Sarah belum menerima suntikan vaksin sebenarnya dan paru-paru tidak lagi boleh berfungsi dan penuh dengan Covid-19.
“Itu hasil komunikasi saya dengan doktor dan jururawat yang merawat Siti Sarah, mereka menasihati ambillah vaksin.
“Pada masa sama, kita semua kena jaga kesihatan, jaga SOP (prosedur operasi standard) dan jangan jadi hero hendak ke sana sini. Bagi yang ada duit lebih, melaburlah untuk beli suplemen vitamin.
“Duit ada banyak pun tidak ada guna jika kena Covid-19 sebab masa isteri saya hendak dimasukkan ke hospitak swasta, semuanya sudah penuh,” katanya secara langsung di Live Instgram miliknya di sini petang ini.
Siti Sarah menghembuskan nafas terakhirnya di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM (HCTM) sebelum Subuh pagi tadi.
Allahyarham dikebumikan selepas solat Zohor di tanah perkuburan sama di mana ibunya, Allahyarham Nur Aini Mohamad yang meninggal dunia pada 26 Jun 2013 akibat komplikasi pelbagai penyakit.
Menerusi perkahwinan selama 11 tahun, Shuib dan arwah Siti Sarah dikurniakan empat cahaya mata, Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6, dan Ayash Affan yang dilahirkan pada Jumaat lalu.
Sementara itu, Shuib turut menyifatkan Siti Sarah sebagai seorang isteri yang taat dan setia kepada suami sepanjang mereka mengharungi alam rumah tangga sejak 11 tahun.
Shuib juga tidak malu-malu berkata, kejayaan perniagaannya pada hari ini kerana dia menumpang tuah yang dimiliki oleh Siti Sarah, 36.
Jelasnya, arwah juga tidak pernah mengeluh dan malu berkahwin dengannya yang mana ketika berkahwin dia tidak mampu memberi duit hantaran.
“Saya tumpang tuah seorang isteri yang taat dan setia, tidak penah mengeluh dan malu berkahwin dengan saya, berbekal itulah saya ada di mana pada hari ini walaupun tidak sehebat mana pun.
“Apa yang penting, arwah banyak membantu saya selama 11 tahun. Bukan setia dan taat sahaja, dia tidak pernah berkira dan tidak pernah tanya aduit saya.
“Selain tidak ada masalah wang, balik kampung pun dia akan ikut saya dan kami tidak pernah bergaduh. Dia hanya hendak saya dan emak saya gembira,” katanya.
Shuib menambah, Siti Sarah juga banyak mengajarnya agar jangan berkira dengan wang untuk bersedekah kerana Allah SWT akan membantut rezeki manusia.
Katanya, sebab itu arwah sering bersedekah apa yang terlintas malah ada sedekah yang tidak diketahuinya kerana dilakukan secara diam-diam oleh Siti Sarah.
Jumaat lalu, Siti Sarah yang terpaksa ditidurkan, melahirkan bayi lelaki, Ayash Affan melalui pembedahan tanpa sedar, jam 5 petang.
Pada 27 Julai lalu, Siti Sarah mengesahkan beliau dan keluarga positif Covid-19. – MalaysiaGazette