Yang di-Pertua Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertua Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dilantik menjadi Canselor Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).

Pelantikan itu berkuatkuasa 1 Julai lalu sehingga 31 Disember 2023.

Pelantikan itu menggantikan Tun Abdul Rahman Abbas yang telah menyempurnakan tempoh sebagai Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang pada 30 April lalu setelah 16 tahun menjadi Canselor UNITEN.

Ahmad Fuzi memulakan pendidikan awal peringkat rendah dan menengah di Pulau Pinang dan seterusnya memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) di Universiti Malaya pada tahun 1972.

Beliau juga mengikuti UK Foreign Service Programme di Universiti
Oxford dan memperoleh Sijil Diplomasi pada tahun 1974.

TYT mempunyai pengalaman luas dalam bidang perkhidmatan diplomatik dan pentadbiran negara dan menyertai perkhidmatan diplomatik dan pentadbiran sejak tahun 1972 dan pernah berkhidmat dalam pelbagai kapasiti termasuk Ketua Setiausaha di
Kementerian Luar Negeri sehingga tahun 2009.

Semasa tempoh perkhidmatan, TYT juga bertugas dalam misi Malaysia di luar negara sebagai Setiausaha Kedua di Moscow, Kaunselor di The Hague, Timbalan Pesuruhjaya Tinggi di Canberra, Timbalan Ketua Perwakilan di Washington dan Pesuruhjaya Tinggi di Dhaka.

Beliau memasuki dunia korporat setelah bersara dengan menjawat jawatan pengerusi beberapa syarikat berkaitan kerajaan.

Pengurusan Tertinggi UNITEN dalam satu kenyataan percaya Ahmad Fuzi akan membawa universiti itu ke arah kemajuan akademik dan organisasi yang lebih cemerlang selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan serantau dan antarabangsa.

Dalam masa yang sama, UNITEN juga mengucapkan setinggi-tinggi tahniah di atas pelantikan Pro Canselor UNITEN, Datuk Ir. Baharin Din berkuat kuasa 1 Julai lalu hingga 31 Disember 2023.

Datuk Ir. Baharin Din

Beliau merupakan Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB), berkelulusan ijazah Sarjana Muda Sains dalam Kejuruteraan Elektrikal daripada Syracuse University, New York dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan daripada UNITEN, Malaysia / Bond University, Sydney, Australia.

Baharin memulakan kerjayanya di TNB pada tahun 1985 sebagai pembantu jurutera (pembinaan) dan terus gemilang dalam kerjayanya bersama TNB sehingga kini.

Gandingan kepimpinan itu selaras dengan hasrat UNITEN untuk menjadi sebuah institusi pendidikan tinggi bertaraf global, berdaya saing dan terunggul. Sebagai satu-satunya universiti swasta yang berperanan membangunkan modal insan dalam bidang tenaga, UNITEN akan terus komited melahirkan lebih ramai graduan holistik dan seimbang.- MalaysiaGazette