Pelancaran Maskot TUAH Tenaga UTeM pada tahun lalu yang dilancarkan oleh Raha Abdul Rahim (3 dari kanan) bersama dengan Penolong Naib Canselor Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti UTeM, Mohd Rahimi Yusoff (2 dari kiri) dan Pengarah KPKA UTeM, Prof Madya Ts Juhari Ab Razak (kiri).

KUALA LUMPUR – Universiti Teknikal malaysia Melaka (UTeM) berjaya mencatatkan kejayaan unggul penjimatan penggunaan tenaga sebanyak RM 9 juta dari tahun 2015
sehingga pertengahan 2021 yang mana ianya dibandingkan dengan penanda aras
pada tahun 2014.

Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Dr Raha Abdul Rahim berkata,
pencapaian ini merupakan kejayaan besar dalam tempoh 6 tahun UTeM mampu
mencapai penjimatan tenaga elektrik sebanyak 25 juta kilowattjam (kwj).

Jelas beliau, ianya turut memberikan impak berganda dalam aspek kawalan
pembebasan CO2 turut berjaya dikurangkan sebanyak 14,559 tanCO2 yang
menghasilkan purata pengurangan penggunaan tenaga sebanyak 19 peratus pada
setiap tahun.

Katanya, kejayaan ini diinisiatifkan menerusi formula strategik yang dibangunkan
secara dalaman oleh pihak UTeM lalu menjadi resepi unggul dengan membuahkan
hasil yang memberangsangkan selari aspirasi negara bagi pengurusan tenaga.

“Antara pengisian formula strategik UTeM adalah bermula dengan pembentukan
sumber manusia yang dinamik dan komited dalam menjayakan agenda ini di
samping penerapan teknologi berasaskan Revolusi Industri (IR 4.0).

“Turut diadakan adalah pelaksanaan perolehan hijau kerajaan (Government Green
Procurement) seperti penukaran peralatan cekap tenaga yang mana lebih 50 peratus
lampu LED telah digunakan di kampus induk di samping kerjasama erat bersama
agensi luar seperti Suruhanjaya Tenaga dan Malaysia Green Technology dan
Climate Change Centre (MGTC),” ujarnya dalam kenyataan baru-baru ini.

Penolong Naib Canselor Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti UTeM, Profesor
Madya Ts. Mohd Rahimi Yusoff berkata, formula strategik ditambah pula dengan
pelaksanaan operasi mampan menerusi pelaksanaan dan pemantauan berkesan
menjadi pelengkap kejayaan ini.

Ujarnya, peranan yang dimainkan secara efektif dan bersepadu menerusi Unit
Pengurusan Tenaga, Pejabat Keselamatan Pekerjaan dan Kelestarian Alam Sekitar
(KPKA) bersama Pejabat Pengurusan Fasiliti serta seluruh warga UTeM menjana
hasil yang dihasratkan.

Katanya, walaupun kami menguruskan penjimatan tenaga namun keselesaan
seluruh warga UTeM terus menjadi keutamaan sebagai contoh jadual operasi
penghawa dingin disusun secara optimal dan cekap bagi memastikan keselesaan
penghuni bangunan.

“Turut diadakan kerjasama dengan penyelidik dalaman UTeM bagi membantu
mendapatkan teknik terbaik melaksanakan kecekapan tenaga di samping data
tenaga dianalisa secara saintifik untuk digunapakai serta langkah kecekapan tenaga
di masa hadapan.

“Pelbagai aktiviti dan program berkaitan pemupukan kesedaran tenaga secara
bersasar bermula dari pengurusan tertinggi hinggalah kepada staf sokongan dan
pelajar turut dilaksanakan dengan jayanya," katanya lagi.

Dalam tempoh pencapaian penjimatan tenaga ini UTeM turut meraih kejayaan
berganda apabila menempa kemenangan bukan hanya di peringkat tempatan dan
nasional malahan melebar segenap persada global.

Antara kejayaan yang telah dicapai adalah Anugerah Hijau Negeri Melaka 2016,
penarafan ASEAN Energy Management Gold Standard (EMGS) 1 bintang pada 2016
dan Penarafan ASEAN Energy Management Gold Standard (EMGS) 2 bintang pada
2018.

UTeM turut merangkul Anugerah Khas dari Croatia dan anugerah emas
di Malaysia Technology Expo (MTE 2021) menerusi Product-OptiDR-Simulator
diketuai penyelidik Ts. Dr. Mohamad Fani Sulaima (Pengurus Tenaga UTeM) yang
mana produk ini turut telah digunapakai untuk membuat analisa penggunaan tenaga. – MalaysiaGazette