Sebuah lori kontena yang mengandungi minyak masak bersubsidi yang dibawa dari Melaka ke Kelantan untuk diseludup ke negara jiran membabitkan satu sindiket berjaya ditumpaskan KPDNHEP Putrajaya.Kredit Foto: KPDNHEP Putrajaya.

PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berjaya menumpaskan aktiviti penyeludupan bekalan minyak masak bersubsidi selepas menyerbu sebuah stor penyimpanan dan transit di di Pasir Mas, Kelantan.

Operasi ini dilaksanakan hasil daripada maklumat risikan daripada Seksyen Perisikan KPDNHEP Putrajaya ke atas sebuah premis pemborong dan pembungkus minyak masak di Melaka.

Pasukan risikan telah mengenalpasti sebuah lori yang mencurigakan dan disyaki
digunakan oleh sindiket untuk mengangkut minyak masak bagi tujuan menjalankan aktiviti penyelewengan minyak masak bersubsidi.

Hasil maklumat mendapati lori berkenaan digunakan untuk mengangkut minyak masak ke Kelantan.

Timbalan Pengarah Penguat Kuasa (Operasi) Bahagian Penguat Kuasa Shamsul Nizam Khalil berkata,  sebuah lori yang mencurigakan dan disyaki digunakan oleh sindiket untuk mengangkut minyak masak untuk aktiviti penyelewengan dan hasil maklumat mendapati lori berkenaan digunakan untuk mengangkut minyak masak ke Kelantan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pagi tadi.

Pegawai penguatkuasa KPDNHEP memeriksa kotak yang mengandungi minyak masak bersubsidi yang ditemui di sebuah setor penyimpanan di Kelantan dalam satu serbuan terbaharu ini.Foto Ihsan KPDNHEP

Tambah beliau, hasil siasatan awal penguatkuasa mendapati stor tersebut disyaki digunakan sebagai tempat penyimpanan dan transit sebelum pihak sindiket menjalankan aktiviti penyeludupan ke negara jiran.

Pemeriksaan di stor berkenaan berjaya menemui 17,000 kilogram minyak masak paket bersubsidi 1kg berada di dalam sebuah lori dan sejumlahnya telah dipindahkan ke dalam stor tersebut.

“Modus operandi sindiket ini adalah mendapatkan bekalan minyak masak bersubsidi daripada syarikat pembekal di Melaka dan sekitar Lembah Klang dengan menggunakan lesen daripada syarikat lain.

“Berdasarkan dokumen yang dijumpai, minyak masak ini sepatutnya dihantar ke salah sebuah pemborong di Melaka namun didapati ianya telah diseleweng dan dibawa masuk ke Kelantan dan dipercayai untuk tujuan penyeludupan ke negara jiran,” ujarnya.

Menurut beliau, dalam serbuan sama, pihaknya berjaya menahan dua individu lelaki yang dikenalpasti sebagai pemandu dan kelindan lori tersebut bagi membantu siasatan.

Shamsul Nizam berkata, siasatan lanjut akan diteruskan untuk mengenal pasti pemilik premis dan suspek utama yang terlibat didalam kes ini.

Sindiket berkenaan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dalam keadaan menimbulkan syak munasabah untuk melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 membabitkan aktiviti mengilang LPG tanpa lesen sah.

Ia juga satu kesalahan mengikut Seksyen 20 (1), Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menyimpan, apa-apa barang kawalan disimpan dimana-mana premis selain dari premis yang dilesenkan atau premis yang dibenarkan oleh pengawal serta Peraturan 9 (2), Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana pemborong menjual barang kawalan kepada orang atau pihak yang tidak mempunyai lesen atau kebenaran bertulis daripada Pengawal.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM 1 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, katanya. -MalaysiaGazette