Dr. Sathia Prakash Nadarajan memberi sumbangan bakul makanan kepada kumpulan terjejas pandemik Covid-19 termasuklah warga asnaf, mualaf dan Orang Asli sekitar Hulu Selangor, Selangor. Foto HAFIZ SOHAIMI,10 OGOS 2021.

KUALA KUBU BHARU – Sambutan Maal Hijrah tahun ini membawa seribu satu makna buat warga barisan hadapan SP Care apabila menyumbangkan bakul makanan kepada golongan terjejas dengan cabaran pandemik.

Mereka bukan sahaja hampir saban hari bergelut menghadapi pesakit Covid-19 selain daripada masalah kesihatan lain namun kumpulan barisan hadapan itu juga konsisten melakukan amal jariah.

Pengasas SP Care, Dr Sathia Prakash Nadarajan yang memiliki 13 rangkaian klinik sekitar Hulu Selangor itu aktif dalam mengedarkan sumbangan bakul makanan selain perkhidmatan food bank sejak lebih sebulan lepas.

Kali ini, beliau bersama-sama hampir 20 warga SP Care membantu golongan asnaf, mualaf serta Orang Asli di tiga lokasi iaitu Serendah, Batang Kali dan Kampung Orang Asli Gerachi Jaya Kuala Kubu Bharu.

Petugas SP Care tampil memberi sumbangan bakul makanan kepada kumpulan terjejas pandemik Covid-19 termasuklah warga asnaf, mualaf dan Orang Asli sekitar Hulu Selangor, Selangor. Foto HAFIZ SOHAIMI,10 OGOS 2021.

Dengan menggunakan empat buah kenderaan pacuan roda, seramai 68 buah keluarga yang ketika ini terkesan  diberikan bantuan makanan.

“Ini bukanlah bantuan pertama kami malah bukanlah yang akhir. Setakat ini dalam tempoh sebulan lebih ini, kita sudah hulurkan sumbangan ikhlas dari SP Care kepada lebih 2,500 individu dan keluarga pelbagai latarbelakang sebenarnya.

“Anda akan terkejut dan sayu apabila turun sendiri melihat penderitaan mereka. Saya bersama-sama warga SP Care bukan sahaja menyediakan food bank di luar klinik tetapi akan ketuk setiap rumah mereka yang memerlukan.

“Tujuan kami berbuat demikian bukan hanya mahu sekadar bantu suka-suka untuk tujuan publisiti sebaliknya mahu melihat sendiri apakah yang sedang dihadapi oleh mereka. Selain dari sumbangan asas, saya sendiri akan cuba cuba hulur sebarang perkhidmatan kesihatan sekiranya perlu,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini semalam.

Dr. Sathia Prakash Nadarajan bercakap kepada petugas media selepas memberi sumbangan bakul makanan kepada kumpulan terjejas pandemik Covid-19 termasuklah warga asnaf, mualaf dan Orang Asli sekitar Hulu Selangor, Selangor. Foto HAFIZ SOHAIMI,10 OGOS 2021.

Menurutnya, pihak di SP Care sanggup turun padang hampir setiap hari walaupun komitmen kerja yang tinggi kerana talian hotline yang disediakan untuk bantuan makanan asas ini sentiasa dihubungi penduduk setempat.

Menurut Dr. Prakash, rata-rata penduduk Orang Asli mengalami masalah surivival kerana mereka bukan sahaja menghadapi cabaran pandemik tetapi juga berdepan dengan masalah kewangan.

“Sebagai contoh, orang Asli di Gerachi Jaya ini ada yang kelaparan, kebuluran kerana kehidupan mereka lebih bergantung kepada hasil petai dan durian namun permintaan itu tidak seperti dulu.

“Lebih hiba apabila ada kalangan mereka didapati positif Covid-19 dan tidak dapat bekerja mencari rezeki menyebabkan hampir seluruh keluarga  terpaksa berlapar atau ikat perut. 

“Bukan sahaja orang Asli ini berdepan dengan cabaran seperti ini sebaliknya yang lain-lain juga. Kami juga didekati oleh ahli jawatankuasa masjid yang juga memohon bantuan ini untuk yang terjejas, antaranya golongan asnaf, ada juga ibu tunggal. Juga mualaf didekati kami.

“Jika anda dengar sendiri penderitaan mereka, anda juga akan tersentuh hati seperti kami. Bayangkan apa yang dipinta oleh mereka tidak begitu besar, mereka ternanti-nanti jika dapat bekalan seperti beras.

Petugas SP Care tampil memberi sumbangan bakul makanan kepada kumpulan terjejas pandemik Covid-19 termasuklah warga asnaf, mualaf dan Orang Asli sekitar Hulu Selangor, Selangor. Foto HAFIZ SOHAIMI,10 OGOS 2021.

“Kata mereka beras sudah kehabisan. Adakalanya mereka hanya makan nasi tanpa lauk. Rata-rata mereka ini bukanlah sengaja malas sehingga hanya mengharapkan sumbangan semata-mata,” katanya.

“Warga SP Care, pekerja-pekerja saya sendiri selepas penat seharian laksanakan tugasan hakiki mereka akan bersama-sama saya meronda, mengetuk rumah-rumah dan juga menghabiskan masa menyediakan food bank saban hari. Pada mereka, itu bukan paksaan sebaliknya semangat dan keprihatinan untuk terus hulurkan bantuan.

“Kami puas hati apabila melihat sedikit senyuman pada wajah-wajah yang tiap masa sarat dengan pelbagai sakit, derita,” ujarnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast