Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin

ANCAMAN pandemik Covid-19 yang berlarutan hampir dua tahun meletakkan Malaysia dalam dilema yang amat kompleks, terpaksa mengharungi tiga krisis secara serentak, yakni ekonomi, politik dan kesihatan awam. Kemerosotan ekonomi dan ancaman Covid-19 ditambah kemelut politik nasional telah merancakkan gelanggang perdebatan dan provokasi berkaitan isu-isu semasa. Kebebasan bersuara yang diberikan memperlihatkan tahap kesedaran dan penyertaan politik yang semakin tinggi dalam kalangan masyarakat. Segala dasar dan polisi pihak kerajaan begitu galak dibincangkan di pelbagai lapangan. Dalam satu aspek, hal ini merupakan petanda cakna rakyat kepada tindakan dan aktiviti kerajaan agar tidak terpesong dari landasan kepimpinan dan urus tadbir yang baik.

Paling popular, drama politik yang tercetus semenjak Februari 2020 menerusi ‘Langkah Sheraton’ kelihatan masih berlarutan sehingga kini. Situasi ini sudah pastinya menyukarkan pelan pemulihan negara yang sedang giat dilaksanakan masa kini. Takhta dan kekuasaan sememangnya menjadi idaman pelbagai pihak dengan matlamat tersendiri. Ada yang melihatnya sebagai platform mengecap kemasyhuran, dan tidak kurang juga yang benar-benar ikhlas menjadikannya medan mencurahkan khidmat.

Dari perspektif Islam, kepimpinan dilihat sebagai suatu amanah dan tanggungjawab berat yang perlu dipikul secara adil dan berhikmah. Slogan ‘Kepimpinan sebagai Tanggungjawab, Bukan Kebanggaan’ yang popular dalam fiqh haraki sebenarnya dicetuskan menerusi hadis Rasulullah SAW, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Dhar al-Ghiffari berkatanya: “Suatu hari aku telah bertemu dengan Rasulullah SAW lalu berkata: ‘Wahai Rasulullah! Tidakkah mahu engkau melantikku?’ Baginda menepuk bahuku dan bersabda: “Wahai Abu Dhar, Sesungguhnya engkau ini lemah, sedangkan jawatan itu adalah amanah.

Ia pada hari akhirat nanti adalah kerugian dan penyesalan, kecuali sesiapa yang mengambilnya dengan kelayakan dan menunaikan apa yang menjadi tuntutannya.” (Riwayat Muslim) Bahkan dalam hadis yang lain, Nabi Muhammad pernah mengingatkan akan kemunculan sekelompok manusia yang sangat mendambakan kuasa sehingga pada akhirnya hanya membawa kepada kehancuran dan kerosakan semata-mata. Sabda baginda SAW: “Sesungguhnya akan ada dalam kalangan kamu yang bersungguh-sungguh gilakan kepimpinan dan ia akan jadi satu penyesalan di hari Kiamat. Ia hanya permulaan yang menyenangkan di dunia dan pengakhiran penuh dengan penyesalan di Akhirat.” (Riwayat al- Bukhari).

Kesungguhan mengejar pangkat, kedudukan dan habuan tertentu sudah pasti sedikit sebanyak melalaikan kita daripada amanah yang dipertanggungjawabkan, sehingga akhirnya prinsip dan dasar yang menjadi pegangan selama ini hanya sekadar “menanam tebu di tepi bibir” sahaja. Hal ini sudah ditegaskan oleh Ibn ‘Ata’illah al-Sakandariy menerusi salah satu untaian nasihat hikmahnya: “Kesungguhanmu mengejar apa yang sudah dijamin untukmu (oleh Allah), dan kelalaianmu melaksanakan apa yang dibebankan kepadamu, itu merupakan tanda butanya basirah (mata hati) darimu.” (Kitab al-Hikam).

Atas dasar itulah, Fudayl Ibn ‘Iyad, seorang tokoh sufi yang terkenal menegaskan bahawa penyakit gilakan kuasa hanya akan merosakkan keperibadian dan meleburkan prinsip seseorang. Katanya: “Tidak ada seorang lelaki yang gilakan kuasa kepimpinan melainkan dia akan terjebak dengan hasad dan kejahatan, suka mencari keaiban manusia dan dia benci untuk menyebut kebaikan orang lain.” Himpunan sifat dan perlakuan negatif ini hanya akan menjauhkan seseorang pemimpin daripada merasai denyut nadi rakyat kerana fikirannya tertumpu kepada strategi untuk pengekalan kuasa semata-mata.

Sejarah mencatatkan tauladan agung yang dipamerkan oleh salah seorang khalifah Islam, iaitu Umar al-Khattab. Kecaknaan dan keprihatinan beliau terhadap isu kebajikan dan kesejahteraan awam benar-benar menjadikan beliau sebagai pemimpin dambaan masyarakat. Beliau sering melakukan pemantauan rahsia di sekitar Madinah, termasuk di kawasan kampung dan terpencil bagi memastikan tiada golongan yang tersisih daripada agenda pembangunan negara. Bahkan diriwayatkan bahawa beliau pernah memikul sendiri karung gandum lalu diagihkan kepada sebuah keluarga yang sedang kelaparan, seraya memohon keampunan daripada Allah atas keterlanjurannya terhadap kebajikan keluarga tersebut.

Inilah kualiti utama yang perlu diwujudkan dalam diri mana-mana individu sebelum berani menawarkan diri sebagai pemimpin. Kebajikan dan kesejahteraan rakyat perlu dijadikan agenda utama, bukannya sinetron politik yang tiada berkesudahan demi kelangsungan kuasa. Mereka yang bermazhab kepimpinan sebagai kemegahan, kemuliaan dan kebanggaan lebih fokus kepada strategi dan keinginan kepada sesuatu, tanpa memikirkan pengisian yang perlu diterjemahkan daripadanya. Wajah tawaduk dizahirkan secara bermusim dan bermotif, manakala prinsip pula menjadi barang gadaian yang boleh dilelong secara murah dan mudah.

Bagi mereka yang bermazhab kepimpinan sebagai amanah, tanggungjawab dan kewajipan pula, tiada drama perebutan pangkat dan kedudukan yang difokuskan, sebaliknya pertimbangan utama lebih terarah kepada pengisian secara inklusif, tanpa meminggirkan pihak berlainan aliran. Wajah tawaduk diterjemahkan secara asli tanpa sebarang kosmetik, meskipun terhijab daripada penghargaan manusia. Prinsip pula digenggam utuh, walau cagarannya kehilangan kerusi yang empuk.

Tuntasnya, para pemimpin seharusnya mendahulukan nurani murni dengan mengetepikan agenda dan habuan sempit. Krisis pandemik yang berlaku kini benar-benar meletakkan masyarakat dalam situasi kronik, dan dikhuatiri mencetuskan impak luar jangka yang lebih parah. Budaya tuding jari dan saling menyalahkan antara satu sama lain tidak akan menyelesaikan mana-mana masalah. Carilah solusi yang lebih harmoni menerusi muafakat dan komitmen jitu pelbagai pihak bagi memastikan matlamat kesejahteraan negara mampu direalisasikan.

Oleh: Dr. Khairul Azhar Meerangani
Pensyarah Kanan
Universiti Teknologi MARA Cawangan Melaka

Dr. Mohd Farhan Md Ariffin
Pensyarah Kanan
Universiti Kebangsaan Malaysia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast