Prof Dr. Roziah Mohd Janor.- Pix FB

KUALA LUMPUR – Pelantikan Prof Dr. Roziah Mohd Janor sebagai Naib Canselor  Universiti Teknologi Mara (UiTM) dibuat berdasarkan merit dan kelayakan.

Pertimbangan berdasarkan kelayakannya juga dibuat oleh mantan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Menurut Setiausaha Persatuan Alumni UiTM Malaysia Shukri Ishak, melalui proses yang ketat di bawah  Jawatankuasa Khas Temuduga Kenaikan Pangkat Naib Canselor UiTM (Jawatankuasa).

“PAUiTM juga berkeyakinan tinggi bahawa Jawatankuasa dan Menteri Pengajian Tinggi telah melihat kriteria kelangsungan kepimpinan dan kecemerlangan UiTM kerana Prof Dr Roziah masih berkhidmat di dalam sistem UiTM,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Baru-baru ini Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Husaini Omar mengesahkan surat penangguhan pelantikan Prof Dr Roziah Mohd Janor sebagai Naib Canselor UiTM yang baharu.

Surat pelantikan beliau terdahulunya tular di media sosial.

Mengulas lanjut, Shukri dalam masa yang sama yakin pelantikan Naib Canselor baharu ini membolehkan UiTM merancang dan melaksanakan strategi yang lebih berkesan pada tahun ini.

Justeru, beliau berharap isu lantikan Naib Canselor UiTM ini dapat diselesaikan dengan segera demi kepentingan seluruh sistem universiti itu.

Untuk rekod, pelantikan Prof Dr Roziah Janor sebagai Naib Canselor menjadikannya wanita pertama antara peneraju UiTM.-MalaysiaGazette