KUALA LUMPUR – Imbangan Akaun Semasa Malaysia (CAB) mencatat lebihan RM14.4 bilion pada suku tahun kedua 2021, meningkat 17.2 peratus dari RM12.3 bilion pada suku sebelumnya.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, lebihan tinggi dalam akaun semasa terutamanya didorong oleh prestasi yang baik dalam barangan walaupun defisit perkhidmatan terus meningkat sejak suku tahun kedua 2020 disebabkan penularan wabak Covid-19.

Pada suku tahun ini, akaun barangan meningkat 11.1 peratus untuk mencatat lebihan lebih tinggi sebanyak RM40.7 bilion berbanding RM36.6 bilion pada suku sebelumnya.

Prestasi ketara ini dipacu oleh eksport yang lebih tinggi pada RM244.0 bilion, meningkat sebanyak RM18.5 bilion dari suku sebelumnya.

Eksport utama adalah barangan berasaskan elektrik & elektronik (E&E), petroleum dan getah terutamanya ke China, Singapura dan Amerika Syarikat (AS).

Import barangan juga meningkat sebanyak RM14.5 bilion kepada RM203.4 bilion berbanding suku sebelumnya.

Sumber import utama adalah dari China, Singapura dan Jepun, yang mana peningkatan import disumbangkan oleh barangan perantaraan.

Jelas beliau lagi, lebihan akaun semasa pada suku tahun kedua ini juga disokong oleh defisit pendapatan sekunder yang lebih rendah, mencatatkan defisit bersih berjumlah RM1.4 bilion berbanding RM3.6 bilion pada suku tahun pertama 2021 berikutan penerimaan yang lebih tinggi dari luar negara.

Manakala pembayaran ke luar negara berkurangan disebabkan pengiriman wang keluar lebih rendah susulan penurunan bilangan pekerja asing di Malaysia.

Melihat kepada prestasi perdagangan perkhidmatan, import mencatatkan RM36.5 bilion yang secara relatifnya lebih tinggi daripada nilai eksport RM21.1 bilion pada suku tahun kedua 2021, mengakibatkan defisit lebih tinggi dalam perkhidmatan yang berjumlah RM15.4 bilion berbanding RM15.0 bilion pada suku sebelum, terutamanya disebabkan oleh perjalanan dan pengangkutan.

Situasi di luar jangkaan yang berpanjangan dan semakin teruk susulan lonjakan dalam jumlah kes Covid-19 sejak pertengahan Mei tahun ini, sempadan Malaysia masih ditutup untuk ketibaan pelancong antarabangsa menyebabkan perjalanan terus mencatat defisit yang lebih tinggi sebanyak RM3.6 bilion pada suku tahun semasa.

Defisit pengangkutan turut meningkat sebanyak 6.4 peratus secara suku tahunan kepada RM8.1 bilion, terutamanya disebabkan oleh pembayaran yang lebih tinggi untuk aktiviti muatan sejajar dengan peningkatan dalam import barangan.

Sementara itu, eksport penumpang udara terus mencatat penerimaan yang lebih rendah sejak suku tahun kedua 2020.Walau bagaimanapun, dengan amalan kerja berasaskan teknologi dalam norma baharu disebabkan oleh pandemik, perkhidmatan berkaitan teknologi (ICT) menunjukkan prestasi
yang semakin baik terutamanya dalam Telekomunikasi, komputer dan maklumat seperti aktiviti penstriman dan perkongsian video pendek melalui perkhidmatan rangkaian sosial.

Tambahan pula, perkhidmatan persendirian, kebudayaan dan rekreasi merekodkan terimaan lebih tinggi pada suku tahun ini berikutan e-sukan yang semakin popular dalam kalangan remaja dengan sokongan dan inisiatif berterusan dari kerajaan.

Sementara itu, akaun pendapatan primer mencatatkan defisit sebanyak RM9.5 bilion berbanding RM5.7 bilion pada suku tahun pertama 2021, menunjukkan syarikat asing di Malaysia memperoleh pendapatan lebih tinggi sebanyak RM28.7 bilion pada suku tahun ini, khususnya dari pelaburan langsung dalam sektor pembuatan dan kewangan.

Pada masa yang sama, syarikat Malaysia di luar negara juga mencatatkan pendapatan yang lebih tinggi sebanyak RM19.3 bilion, terutamanya disumbangkan oleh peningkatan dalam pelaburan portfolio.

Dari segi konteks kewangan, Mohd Uzir berkata, akaun kewangan berubah arah kepada aliran keluar bersih berjumlah RM7.0 bilion pada suku tahun ini berbanding aliran masuk bersih RM16.0 bilion pada suku sebelumnya disebabkan oleh pelaburan lain yang mencatat aliran keluar bersih sebanyak RM30.5 bilion, terutamanya pembayaran antara bank yang lebih tinggi ke luar negara.

Sementara itu, Pelaburan Langsung Asing (FDI) mencatatkan aliran masuk sebanyak RM8.2 bilion pada suku tahun ini, terutamanya dalam bentuk ekuiti dan dana pelaburan saham. Pembuatan kekal sebagai sektor utama pelaburan asing di Malaysia, diikuti oleh Kewangan dan Perlombongan; khususnya dari Japan, Indonesia dan AS.

Pada masa yang sama, Pelaburan Langsung di Luar Negeri (DIA) merekodkan aliran keluar sebanyak RM4.0 bilion pada suku kedua tahun 2021 disumbangkan oleh ekuiti dan dana pelaburan saham.

Syarikat Malaysia di luar negara kebanyakannya terlibat dalam sektor kewangan, pembuatan dan maklumat manakala destinasi utama adalah
United Kingdom, Indonesia dan Canada.

Beliau berkata, pada akhir suku tahun kedua 2021, kedudukan FDI meningkat RM16.9 bilion kepada RM730.3 bilion manakala kedudukan
DIA adalah RM537.7 bilion.

Kedudukan Pelaburan Antarabangsa Malaysia (IIP) mencatatkan aset bersih yang lebih tinggi berjumlah RM112.6 bilion berbanding RM106.4 bilion pada
akhir suku tahun sebelumnya.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast