Foto: HMS Queen Elizabeth

LONDON – Tindakan kapal selam China yang mengekori kapal pengangkut pesawat Britain adalah bagi mempamerkan kekuatan ketenteraan di Laut China Selatan walaupun ia mungkin didedahkan secara sengaja, menurut satu laporan.

Pesawat pengangkut pesawat HMS Queen Elizabeth diekori dua kapal selam kelas Shang milik China yang dilengkapi peluru berpandu, lapor akhbar Daily Express.

Kapal selam tersebut dikesan menerusi sonar kapal HMS Kent dan HMS Richmond yang bersama dalam kumpulan kapal pengangkut pesawat itu yang belayar menuju ke Lautan Pasifik dari Laut China Selatan, katanya seperti dipetik UPI.

Kapal selam China ketiga dikesan oleh kapal selam Britain.

China menuntut kedaulatan perairannya dengan membina beberapa pulau buatan manusia.

“Beijing menggunakan teknologi untuk mengesan kedudukan kami tetapi mengerahkan kapal selam untuk menguatkuasakan hasrat mereka yang lebih besar untuk menuju status kuasa besar dan menguasai perdagangan dan keselamatan seluruh Pasifik yang bertentangan dengan undang-undang antarabangsa,” kata pegawai tentera laut yang tidak mahu dikenali kepada akhbar itu.

Akhbar berbahasa Inggeris yang dikuasai Parti Komunis China, Global Times, bertindak balas dengan laporan yang memetik pakar tentera China berkata, laporan Daily Express ‘tidak boleh dipercayai’ dan bertujuan untuk menunjuk-nunjuk keupayaan anti kapal selam terhadap Britain.

Akhabr tersebut memetik pakar tentera, Song Zhingping berkata, kapal-kapal Britain mempunyai keupayaan terhad terhadap anti kapal selam dan mendakwa ia dilakukan untuk memperkecil-kecilkan China.

Seorang pakar yang tidak mahu dikenali yang dipetik Global Times sebagai berkata, bagaimanapun kapal-kapal selam itu tidak perlu berada berdekatan dengan kapal perang untuk melancarkan serangan jarak kauh manakala seorang lagi pakar mencadangkan China mendedahkan kedudukannya sebagai amaran atau menggunakan kapal-kapal British sebagai ‘sasaran bayangan untuk latihan’.

Laksamana Chris Parry memberitahu Daily Express bahawa pengesanan kapal selam China merupakan berita baik yang menunjukkan keupayaan anti kapal selam tentera laut telah meningkat selepas bererapa tahun menghadapi kemerosotan semasa perang di Iraq dan Afghanistan.

Pada bulan lalu bekas Pemerintah Tentera Laut, Tom Sharpe yang memetik The Portmouth News berkata, China mungkin cuba ‘menyebabkan kerosakan’ apabila kapal pengangkut pesawat berada di laut.

“Mereka mempunyai banyak pilihan, semua akan membuatkan mereka melakukan kesilapan pengiraan risiko,” katanya sambil menambah beliau menjangka sebarang interaksi adalah ‘profesional, mesra dengan kedua-dua belah pihak mengumpul seberapa banyak maklumat ketika mereka boleh kumpulkan daripada satu sama lain’. – MalaysiaGazette