Ahli Parlimen Sungai Buloh, R. Sivarasa bersama Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin keluar daripada balai polis selepas membuat laporan laporan polis berkaitan artikel bertajuk ‘Siapa 3 Ahli Parlimen Pakatan Harapan Lompat Sokong Perikatan Nasional’ di IPD Petaling Jaya, Selangor. Foto HAFIZ SOHAIMI, 14 OGOS 2021.

PETALING JAYA – Dua ahli Parlimen pembangkang dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) membuat laporan polis berhubung sebuah artikel yang didakwa berniat jahat untuk mencemarkan reputasi mereka.

Ahli Parlimen Sungai Buloh, R. Sivarasa dan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya pada pukul 11 pagi dan selesai membuat laporan polis kira-kira setengah jam kemudian.

Menurut Maria Chin, laporan polis adalah berkaitan sebuah artikel yang kononnya diterbitkan oleh sebuah portal pada Rabu lalu selain menjalankan siasatan ke atas sebuah akaun Facebook milik seorang individu.

“Saya mengesan sebuah artikel yang mengaitkan nama saya bersama R. Sivarasa dan Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua yang kononnya diterbitkan oleh portal Agenda Daily. Kita mahu pihak polis jalankan siasatan siapa yang bertanggungjawab menulis artikel ini kerana ia berniat jahat dan memfitnah.

“Ini tidak betul (artikel), ini adalah berita palsu dan kita nak polis siasat. Kita juga turut kesan satu poster yang dimuat naik menerusi sebuah akaun Facebook bernama Rafi Awang Kecik yang tertera ‘3 sekawan penggemar durian’.

“Ini adalah satu tindakan politik kotor yang tidak boleh diterima, apa yang penting ketika ini adalah masalah rakyat dan Covid-19 dan bukan lah politik kotor sebegini,” katanya ketika ditemui pemberita di hadapan IPD Petaling Jaya hari ini.

Ahli Parlimen Sungai Buloh, R. Sivarasa bersama Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin menunjukkan laporan polis berkaitan artikel bertajuk ‘Siapa 3 Ahli Parlimen Pakatan Harapan Lompat Sokong Perikatan Nasional’ di IPD Petaling Jaya, Selangor. Foto HAFIZ SOHAIMI, 14 OGOS 2021.

Dalam masa sama, bekas Pengerusi Bersih 2.0 itu turut menggesa semua pihak supaya menghentikan perbuatan politik kotor yang semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.

Sementara itu, R. Sivarasa berkata, selepas mengesan artikel tersebut di Internet, pihaknya turut menghantar surat kepada portal berkenaan bagi meminta penjelasan dan kesasihan mengenai berita yang disiarkan.

“Selepas semakan dibuat ke atas laman web Agenda Daily, rencana ini tidak dapat dikesan di sana dan portal itu turut menafikan penerbitan berita tersebut oleh mereka.

“Berita ini adalah palsu sama sekali dan berniat jahat. Berita ini adalah percubaan untuk mengaibkan dan mencemarkan reputasi saya sebagai seorang wakil rakyat,” ujarnya.

Artikel berkaitan:

Menurut R. Sivarasa, beliau juga percaya bahawa penularan rencana dan infografik di sebuah akaun Facebook itu dibuat secara terancang dan jelas menyalah guna kemudahan Internet.

“Ini merupakan satu jenayah di sisi undang-undang khususnya Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.

“Jadi kami membuat laporan ini supaya pihak polis boleh menyiasat kesalahan yang dibuat serta lain-lain yang berkaita,” katanya.

Pada Khamis, Maria Chin dalam satu kenyataan menafikan sekeras-kerasnya bahawa beliau akan menyokong Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata, dirinya masih setia dengan PKR dan Pakatan Harapan (PH).

Terdahulu tular dakwaan beliau dan dua lagi wakil rakyat pembangkang akan membuat kenyataan menyokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Laporan bertajuk ‘Siapa 3 Ahli Parlimen Pakatan Harapan Lompat Sokong Perikatan Nasional? itu tular dengan menyatakan PN memperolehi tiga lagi sokongan Ahli Parlimen PH. – MalaysiaGazette