Dua suspek tempatan yang ditahan polis ATIPSOM Bukit Aman semalam kerana melibatkan lima wanita asing dalam eksploitasi seks dan pemerdagangan manusia di sebuah kondominium di jalan Sungai Besi.

KUALA LUMPUR – Lima wanita warga asing yang menjadi mangsa seks dan pemerdagangan manusia yang didalangi dua lelaki tempatan berjaya diselamatkan polis.

Kelima-lima mangsa dijadikan sebagai pelacur oleh kedua-dua suspek itu, kata Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields Superintendan Basri Sagoni hari ini.

Katanya, pada jam lebih kurang 4 petang semalam, sepasukan Polis dari Bahagian D3 Bukit Aman bersama Bahagian Siasatan Jenayah IPD Brickfields telah menjalankan serbuan di sebuah kondominium yang terletak di Jalan Sungai Besi.

“Pada jam lebih kurang 4.40 petang, dua anggota yang bertindak sebagai Ejen Provokatur (AP) setelah membuat pemerhatian di kondominium berkenaan mendapati wujud aktiviti eksploitasi seks melibatkan beberapa perempuan warga asing di dua unit rumah yang berasingan.

“Berdasarkan pemerhatian tersebut, pada jam 4.45 petang polis telah membuat
pemeriksaan di salah sebuah rumah kondominium itu dan berjaya menahan seorang lelaki tempatan berumur 41 tahun dan menjumpai tiga perempuan warga asing di ruang tamu rumah berkenaan.

“Pada jam lebih kurang 5.20 petang pula, kita menjalankan serbuan dan pemeriksaan di rumah kedua di kondominium sama dan setelah mengetuk rumah beberapa kali, pintu rumah kemudian dibuka oleh seorang lelaki berumur 37 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, berpandukan kepada maklumat lelaki berkenaaan, pihak polis telah membuat pemeriksaan di dalam rumah dan menjumpai dua lelaki tempatan dipercayai pelanggan berada di ruang tamu rumah berkenaan.

Hasil pemeriksaan lanjut di dalam dua bilik tidur yang berasingan, polis menjumpai dua perempuan warganegara asing.

“Dalam kedua-dua serbuan ini, pihak polis telah menangkap dua lelaki Cina untuk penyiasatan lanjut di bawah Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).

“Dalam serbuan di rumah-rumah itu, kita juga berjaya merampas beberapa barang dipercayai digunakan dalam aktiviti eksploitasi seks seperti minyak pelincir pelbagai jenama, beberapa helai tuala, kondom pelbagai jenama, rampasan wang tunai, telefon bimbit pelbagai jenama dan lain-lain rampasan yang relevan dengan kes.

“Kedua-dua suspek telah dibawa ke hadapan Majistret Kuala Lumpur untuk permohonan tahanan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan dibenarkan reman selama dua hari sehingga 16 Ogos ini untuk membantu siasatan polis,” ujarnya.

Polis berjaya menyelamatkan kelima-lima perempuan warga asing itu yang berumur antara 19 hingga 46 tahun.

Kesemua mangsa telah tinggal di lokasi sejak seminggu yang lalu dan bekerja sebagai pelacur.

Katanya, mangsa mempunyai akses keluar masuk rumah, mempunyai telefon bimbit dan memaklumkan tidak pernah dikasari suspek-suspek sepanjang tinggal di rumah berkenaan.

Dalam pada itu, dua lelaki berumur 32 tahun yang menjadi pelanggan mereka dibawa ke IPD Brickfields untuk membantu siasatan dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM). – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.