Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali melambai tangan ketika meninggal Ibu Pejabat Bersatu di Menara Yayasan Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 16 OGOS 2021.

PETALING JAYA – Mesyuarat tergempar Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dijadualkan di Bangunan Yayasan Selangor petang ini dibatalkan saat-saat akhir.

Pembatalan itu dipercayai selepas presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin didapati tidak hadir ke Ibu pejabat Bersatu itu selepas beliau membuat perutusan khas dan sidang media di Perdana Putra, 3 petang tadi.

Tinjauan MalaysiaGazette di kediaman bekas Perdana Menteri itu di Bukit Damansara mendapati Muhyiddin sudah kembali ke rumahnya kira-kira jam 4.55 petang tadi.

Terdahulu beberapa ahli MPT Bersatu didapati mula meninggalkan bangunan ibu pejabat parti itu, bermula jam 5.15 petang tadi.

Antara yang kelihatan beredar ialah Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin; Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Ketua Armada, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Datuk Seri Hamzah Zainuddin (dua kiri) bersama Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (dua kanan) berjalan keluar meninggal Ibu Pejabat Bersatu di Menara Yayasan Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 16 OGOS 2021.

Turut beredar empat ahli MPT Bersatu, iaitu Datuk Seri Mustapa Mohamed, Datuk Zuraida Kamaruddin, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Terdahulu, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu menghadap Yang di-Pertuan Agong (YDPA) di Istana Negara bagi mempersembahkan warkah peletakan jawatannya sebagai Perdana Menteri Ke-8.

Tindakan Muhyiddin itu selepas beliau tiada sokongan majoriti dalam kalangan majoriti ahli Dewan Rakyat terhadap usul undi percaya terhadap Perdana Menteri sebelum ia dibentangkan ke Parlimen, 6 September ini.

Keputusan ahli Parlimen Pagoh itu disorong selepas Majlis Kerja Tertinggi UMNO menarik sokongan daripada Perikatan Nasional dan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri pada 3 Ogos lalu. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Mesyuarat tergempar MPT Bersatu petang ini