Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Datuk Seri Hamzah Zainuddin tiba di Ibu Pejabat Bersatu bagi menghadiri mesyuarat khas di Menara Yayasan Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 16 OGOS 2021.

PETALING JAYA – Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hari ini mengadakan mesyuarat khas di Ibu pejabatnya di Yayasan Selangor petang ini.

Mesyuarat itu dipercayai bagi membincangkan hala tuju parti itu susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri hari ini.

Terdahulu Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin kelihatan tiba di bangunan Yayasan Selangor kira-kira jam 3.50 petang ini bagi menghadiri mesyuarat berkenaan.

Kenderaan Toyota Land Cruiser berwarna hitam yang dinaiki Hamzah diiringi pengawal peribadi dengan motosikal pengiring.

Sebelum itu, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu menghadap Yang di-Pertuan Agong (YDPA) di Istana Negara bagi mempersembahkan warkah peletakan jawatannya sebagai Perdana Menteri Ke-8.

Tindakan Muhyiddin itu selepas beliau tiada sokongan majoriti dalam kalangan majoriti ahli Dewan Rakyat terhadap usul undi percaya terhadap Perdana Menteri sebelum ia dibentangkan ke Parlimen, 6 September ini.

Keputusan ahli Parlimen Pagoh itu disorong selepas Majlis  Tertinggi UMNO menarik sokongan daripada Perikatan Nasional dan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri pada 3 Ogos lalu. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Agong terima peletakan jawatan Muhyiddin, Kabinet