Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melambai semasa memasuki Pintu 1 Istana Negara bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 16 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah hari ini berkenan menerima surat pelerakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri dan jawatan seluruh Jemaah Menteri dengan serta-merta berkuatkuasa hari ini.

Susulan peletakan jawatan itu, Yang di-Pertuan Agong berkenaan supaya Muhyiddin menjalankan tugas sebagai caretaker perdana menteri sehingga perdana menteri yang baharu dilantik.

Ini selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan Seri Paduka Baginda hendaklah melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat sebagai perdana menteri baharu untuk mempengerusikan Jemaah Menteri.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin menerusi kenyataan berkata, Yang di-Pertuan Agong memahami dan menghormati sistem dan proses perundangan negara dan keputusan Muhyiddin berteraskan keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan Kedaulatan Undang-Undang.

“Seri Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada Tan Sri Muhyiddin Md Yassin dan Jemaah Menteri atas khidmat bakti dan urus tadbir negara yang telah dilaksanakan di bawah Perikatan Nasional bermula 1 Mac 2020, khususnya dalam memerangi pandemik Covid-19,” kata kenyataan tersebut.

Kenyataan ini dikeluarkan selepas Yang di-Pertuan Agong menerima mengadap Muhyiddin di Istana Negara.

Terdahulu, baginda turut menerima mengadap Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Datuk Abdul Ghani Salleh pada jam 11 pagi tadi.

Menurut kenyataan itu, baginda juga menerima sembah maklum daripada Abdul Ghani bahawa sehingga 10 Ogos 2021, daripada sejumlah 613 kawasan Dewan Undangan Negeri sebanyak 484 kawasan (79 peratus) adalah zon merah Covid-19.

Pada masa masa, baginda turut mengambil maklum fasiliti-fasiliti kesihatan negara juga berada pada situasi yang membimbangkan.

Justeru, pelaksanaan Pilihan Raya Umum Ke-15 bukan satu pilihan terbaik atas faktor kemaslahatan dan keselamatan rakyat.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan agar kemelut politik yang berlarutan tanpa kesudahan yang telah menganggu kelancaran tadbir urus negara ini dapat diakhiri demi kesejahteraan rakyat dan ekonomi negara yang diancam oleh pandemik Covid-19,” titah baginda. – MalaysiaGazette