Tebing runtuh berhampiran Pusat Falak Sheikh Tahir, Balik Pulau hari ini.

BALIK PULAU – Pusat Falak Sheikh Tahir dii Jalan Pantai Acheh di sini tidak selamat untuk didiami ketika ini ekoran kejadian tebing bukit pusat itu runtuh hari ini.

Difahamkan, hujan lebat yang berterusan sejak tengahari tadi dipercayai punca sebahagian tebing bukit tersebut runtuh.

Kejadian itu turut menyebabkan beberapa batu besar berdiameter antara 1.5 meter menggelongsor atas jalan raya yang menjadi jalan utama ke Kampung Pantai Acheh.

Tebing runtuh di laluan jalan utama ke Kampung Pantai Acheh.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Balik Pulau, Mohd Farid Idris berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung kejadian pada pukul 2.30 petang sebelum sepasukan bomba dikerahkan ke lokasi.

Katanya, sebaik tiba di lokasi pihaknya mendapati tebing berhampiran Pusat Falak Sheikh Tahir runtuh sepanjang 300 meter.

“Walaupun pusat falak berkenaan tidak terjejas namun ia didapati masih belum selamat untuk diduduki. Pengurusan premis itu sudah dinasihati supaya merujuk perkara berkenaan kepada pihak berwajib demi keselamatan.

Beberapa batu besar berdiameter antara 1.5 meter menggelongsor di atas jalan raya akibat tanah runtuh.

“Tiada mangsa dilaporkan, sehubungan itu, orang ramai dinasihati supaya berhati-hati melalui kawasan ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambah Mihd Farid, kerja-kerja pembersihan dijangka mengambil masa selama dua hari.

Terdahulu tular satu rakaman video menunjukkan beberapa batu besar menggelongsor di jalan utama ke Kampung Pantai Acheh. – MalaysiaGazette