UMNO PH Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin.
Mohd Sharkar Shamsudin

KUANTAN – Semua pihak perlu mengambil iktibar daripada krisis politik yang berlaku dalam situasi negara menangani isu kesihatan dan ekonomi yang melanda.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, Malaysia memerlukan kepimpinan stabil dan berpengalaman bagi menguruskan krisis yang berlaku pada hari ini.

Tanpa negara stabil dan krisis politik yang berlaku tidak membantu dalam menghadapi masalah kesihatan yang kritikal ketika ini.

“Terima kasih sepanjang perkhidmatan yang diberikan oleh Tan Sri (Muhyiddin Yassin) dan seluruh anggota Kabinet atas tugas yang dilaksanakan sepanjang tempoh menjawat jawatan yang diamanahkan terhadap mereka.

“Usahlah kita terus mencari kesalahan mana-mana pihak kerana keputusan telah pun dibuat oleh Tan Sri Muhyiddin.

“Kita serah kepada kebijaksanaan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melantik kerajaan baharu pentadbiran negara,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Mohd Sharkar menjelaskan, perkara utama perlu diberikan keutamaan adalah  krisis kesihatan akibat pandemik dan negara perlu segera mencapai imuniti kelompok.

Tambahnya, dengan adanya kerajaan baharu kelak, ia membolehkan rakyat pulih daripada kemelut kekalutan ekonomi.

Semalam Yang Di-Pertuan Agong berkenan terima peletakan jawatan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri namun beliau akan menjalankan tugas sebagai kerajaan sementara sehingga penggantinya dilantik. – MalaysiaGazette