DSP Akmal menunjukkan jus campuran dadah yang ditemui dalam serbuan parti dadah di sebuah kondominium di Jalan Lestari, Seberang Perai hari ini.

SEBERANG PERAI – Polis menahan lapan individu termasuk empat wanita Vietnam yang dikatakan terlibat dalam pesta dadah di sebuah kondominium di Jalan Lestari di sini hari ini.

Bertindak atas maklumat awam, sepasukan polis yang diketuai Pegawai Turus Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, Deputi Superintendan Akmal Yahaya dan Asisten Superintendan Mohd Fairuz Mostafa menyerbu tingkat 10 kondominium tersebut pada jam 6 petang tadi.

Ketika serbuan, kesemua suspek dikatakan sedang berhibur dengan bunyi alunan muzik kuat serta meminum jus campuran dadah.

Kesemua suspek ditahan ketika sedang leka berhibur dengan alunan musik yang kuat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah IPK Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais berkata, dalam serbuan itu, pihaknya menahan empat warga tempatan yang terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita manakala empat lagi wanita warga Vietnam.

Kesemua mereka yang berusia lingkungan 25 hingga 40 tahun itu dan kediaman tersebut disewa salah seorang lelaki sejak setahun lalu.

“Hasil siasatan lanjut juga mendapati masing-masing datang ke situ bersama pasangan dan kenalan masing-masing untuk berhibur.

Tujuh daripada lapan suspek positif dadah.

“Pemeriksaan dalam kediaman tersebut, pihak Bahagian Narkotik Seberang Perai Tengah menemui pelbagai jenis dadah yang dipercayai untuk kegunaan mereka.

Hasil ujian air kencing turut mendapati tujuh daripada mereka positif dadah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Antara dadah yang ditemui termasuk pil eramin 5, pil ekstasi, jus campuran dadah serta syabu.

Antara dadah yang ditemui dalam serbuan tersebut.

Turut dirampas peralatan sistem audio dan lampu disko.

Mengulas lanjut, Rahimi berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan mereka menjadikan kediaman sewa itu sebagai lokas berlibur ekoran pusat hiburan tidak beroperasi dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan( kesalahan kecuaian yang boleh menyebabkan jangkitan penyakit merbahaya) Sek. 12(3) Akta Dadah Berbahay 1952 dan Sek. 15(1)(a) akta yang sama.

Masing-masing mereka yang ditahan merupakan kenalan dan kekasih.

“Kami juga mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang memberikan maklumat berkaitan parti berkenaan selain mengalu-alukan kerjasama sama orang ramai dalam menyampaikan kegiatan jenayah kepada pihak polis,” ujar Rahimi. – MalaysiaGazette