Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

KUALA LUMPUR – Pas menyambut baik titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar semua pihak memberikan keutamaan kesejahteraan negara dan rakyat.

Timbalan presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, perkara itu perlu diambilkira sehinggalah keadaan mengizinkan untuk diadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), kelak.

“Tuanku menitahkan kerjasama semua pemimpin parti agar mewujudkan keharmonian, ketenteraman dan memberi fokus kepada isu kesihatan, ancaman Covid-19, keadaan ekonomi rakyat dan negara.

“Baginda juga menjelaskan proses pelantikan Perdana Menteri akan dilaksanakan menerusi SD (akuan bersumpah) oleh setiap ahli Parlimen.

“SD perlu diserahkan sebelum jam 4 petang esok. Pengesahan oleh setiap MP akan diperlukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tuan Ibrahim antara salah seorang wakil ketua-ketua parti yang dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini.

Selain Pas, UMNO, Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) turut dipanggil menghadap.

Tuan Ibrahim turut menambah, Yang di-Pertuan Agong juga menjelaskan, proses pelantikan Perdana Menteri yang akan dilaksanakan baginda melalui SD yang dikumpul daripada setiap ahli Parlimen.

Katanya lagi, pengesahan oleh setiap ahli Parlimen akan diminta setelah ada yang mempunyai majoriti bagi mengesahkannya.

“Saya suka maklumkan bahawa Pas telah bersedia dengan SD semua ahli Parlimen parti untuk dipersembahkan kepada baginda,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian. – MalaysiaGazette