Dua lelaki dan seorang wanita rentung dalam satu kemalangan di Jalan Masjid Negeri, Pulau Pinang, Isnin lalu.

GEORGE TOWN – Beberapa individu yang mendakwa waris kepada tiga mangsa rentung dalam kemalangan di Jalan Masjid Negeri di sini semalam, tampil menuntut mayat tersebut.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pihaknya tidak boleh mengesahkan indentiti ketiga-tiga mangsa tersebut walaupun ada pihak tampil menuntutnya.

Soffian Santong.

“Proses bedah siasat terhadap tiga mangsa itu akan dibuat petang ini di Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang dan terlalu awal untuk kita sahkan indentiti mereka ketika ini.

“Kita akan panggil individu yang tampil mendakwa waris mangsa itu untuk buat pengecaman selepas proses bedah siasat dilakukan nanti.

“Sekiranya pengecaman gagal dibuat sampel ujian asid deoksiribonukleik (DNA) akan diambil untuk pengesahan mangsa merupakan ahli keluarga mereka yang tampil menuntut mayat tersebut,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Artikel berkaitan: 

MalaysiaGazette semalam melaporkan tiga individu rentung selepas kereta dinaiki mereka dipercayai terbabas lalu langgar sebatang pokok sebelum terbakar dalam satu kejadian di Jalan Masjid Negeri berhampiran Hospital Lam Wah Ee di sini.

Kejadian kira-kira jam 2.50 pagi itu menyebabkan dua lelaki dan seorang wanita rentung sepenuhnya akibat terperangkap dalam kereta jenis Toyota Vios.

Keadaan kereta jenis Toyota Vios yang dinaiki tiga mangsa berkenaan.

Identiti kesemua mangsa itu belum dikenal pasti setakat ini, memandangkan mangsa serta kereta tersebut hangus sepenuhnya.

Dalam operasi menyelamat dan mengeluarkan mangsa, pihak bomba menemui dua lelaki di bahagian pemandu dan penumpang belakang manakala wanita itu di bahagian penumpang hadapan. – MalaysiaGazette