Dua lelaki dan seorang wanita rentung dalam satu kemalangan di Jalan Masjid Negeri, Pulau Pinang, Isnin lalu.

GEORGE TOWN – Tiga individu rentung selepas kereta dinaiki mereka dipercayai terbabas lalu melanggar sebatang pokok sebelum terbakar dalam satu kejadian di Jalan Masjid Negeri berhampiran Hospital Lam Wah Ee di sini, awal pagi tadi.

Kejadian kira-kira jam 2.50 pagi itu menyebabkan dua lelaki dan seorang wanita rentung sepenuhnya akibat terperangkap dalam kereta jenis Toyota Vios.

Dua lelaki dan seorang wanita rentung dalam satu kemalangan di Jalan Masjid Negeri, Pulau Pinang hari ini.

Identiti kesemua mangsa itu belum dikenal pasti setakat ini, memandangkan mangsa serta kereta tersebut hangus sepenuhnya.

Difahamkan, pihak bomba menemui dua lelaki di bahagian pemandu dan penumpang belakang manakala wanita itu di bahagian penumpang hadapan.

Keadaan kereta jenis Toyota Vios yang dinaiki tiga mangsa berkenaan.

Ketua Operasi Zon 1 Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, Mahadzir Magribi berkata, pihak bomba terima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.55 pagi.

Katanya, sebaik pihak bomba tiba api sedang marak pada kereta tersebut selain orang ramai cuba memadamkannya menggunakan alat pemadam api ringan (fire extinguisher).

Mahadzir Magribi.

“Kita berjaya padamkan api dalam tempoh lima minit sebelum melakukan operasi mengeluarkan ketiga-tiga mangsa yang terperangkap dalam kereta tersebut.

“Penumpang bahagian hadapan dan belakang berjaya dikeluarkan manakala operasi mengeluarkan pemandu mengambil masa memandangkan dia tersepit di tempat duduknya.

“Kita menggunakan peralatan khas susulan mengalami kesukaran untuk mengeluarkan mangsa ketiga itu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, hari ini.

Menurut beliau, ketiga-tiga mangsa rentung sepenuhnya dan pihak bomba tidak menolak kemungkinan kereta itu terbakar selepas melanggar sebatang pokok di bahagian kiri jalan terbabit.

Pihak bomba sedang melakukan operasi mengeluarkan mangsa tersepit di bahagian pemandu.

“Kesemua mayat diserahkan ke pada pihak polis untuk siasatan lanjut termasuk mengenal pasti identiti mereka,” ujar Mahadzir.

Mayat tiga mangsa itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong ketika dihubungi berkata, pihak forensik akan menjalankan siasatan untuk mengesan nombor chasis kereta tersebut bagi mengenal pasti indentiti kesemua mangsa. – MalaysiaGazette