Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man bersama Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan (dua kiri) bercakap kepada media selepas menghadiri Mesyuarat Muafakat Nasional (MN) di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 18 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Pas hari ini sebulat suara menyokong Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, perkara itu telah diputuskan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Kita sokong Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri, semua 18 ahli Parlimen sokongan sepenuhnya dan kita sudah siap SD (akuan bersumpah) dan kita akan hantar kepadaa Agong.

“Kita bincang bersama dan buat keputusan, parti berpendirian dan presiden pun sudah sahkan,” katanya selepas mengadakan mesyuarat bersama Barisan Nasional (BN) di Menara Dato’ Onn, hari ini.

Perkara itu, kata Tuan Ibrahim dizahirkan di hadapan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Turut hadir dalam mesyuarat itu adalah Naib Presiden Pas, Idris Harun dan Datuk Seri Khairuddin Aman Razali.

Di pihak BN, ia diwakili Penasihat BN, Datuk Seri Najib Razak, Ahmad Zahid serta Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Semalam, UMNO memuktamadkan bahawa bekas Timbalan Perdana Menteri Perikatan Nasional (PN) itu menjadi satu-satunya calon sebagai calon Perdana Menteri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast