Foto: Facebook Uefa

LONDON – Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) sedang memperhalusi perancangan pembaharuan dalam kejohanan Liga Juara-Juara Eropah.

Pada awal tahun ini, badan kawal selia bola sepak Eropah itu menggariskan pelan untuk membawa perubahan secara besar-besaran dalam kejohanan utama bola sepak benua Eropah itu.

Antara cadangan yang diperhalusi itu melibatkan pemansuhan saingan peringkat kumpulan dan meningkatkan bilangan pasukan bersaing kepada 36 pasukan.

Pembaharuan itu masih diperhalusi selepas cadangan mewujudkan Liga Super Europa membabitkan enam kelab Liga Perdana Inggeris, La Liga dan Serie A gagal.

Laporan The Times menyatakan elemen utama yang akan disingkirkan ialah dua slot Liga Juara-Juara berdasarkan rekod penampilan di Eropah.

Idea dua slot berdasarkan rangking Uefa dimasukkan dalam cadangan pembaharuan itu untuk penstrukturan semula kejohanan itu mulai 2024.

Contohnya jika ia dilaksanakan musim lalu, Tottenham Hotspurs layak ke Liga Juara-Juara Eropah walaupun menamatkan saingan EPL di tempat ketujuh di belakang Leicester City dan West Ham.

Selain itu, pembaharuan itu membabitkan peningkatan jumlah kelab yang bertanding daripada 32 kepada 36 pasukan dengan dan perlawanan tambahan untuk setiap kelab.

Mengikut format yang digunakan sedia ada, 32 pasukan peringkat kumpulan yang bersaing perlu mengharungi enam perlawanan dalam setiap kumpulan bagi menentukan juara dan naib juara peringkat kumpulan dan mara ke pusingan kalah mati atau pusingan kelayakan 16 terbaik.

Jawatankuasa Eksekutif Uefa akan bersidang September ini dan membuat keputusan akhir.

Sebarang perubahan dalam Liga Juara-Juara Eropah akan digunapakai mulai musim 2024.

Beberapa kelab-kelab elit Eropah dikatakan bersedia untuk duduk bersama Uefa untuk menawarkan cadanga. – Dailymail.com