Barisan Ahli Parlimen Pas hadir bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billal Shah berikutan pengesahan sokongan SD kepada calon Perdana Menteri baharu di Istana Negara, Kuala Lumpur.Foto HAZROL ZAINAL, 19 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pas menjadi parti terakhir yang menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, hari ini.

Bas yang membawa 18 orang Ahli Parlimen itu memasuki pintu 2, Istana Negara jam 2.40 petang.

Antara yang kelihatan adalah Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd, Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Nik Zawawi Salleh.

Kesemua mereka diketuai Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ini merupakan bas terakhir yang membawa semua Ahli-ahli Parlimen Dewan Rakyat untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, hari ini.

Sebelum ini, jam 2.26 petang bas kelima memasuki perkarangan Istana Negara yang terdiri daripada Ahli-ahli Parlimen BN.

Yang kelihatan adalah Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Tepat jam 2.37 petang, bas yang membawa Ahli BN dilihat keluar.

Antaranya adalah bekas Menteri Perpaduan, Datuk Seri Halimah Sadique, Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Turut kelihatan Ahli Parlimen Tambun, yang juga Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu. – MalaysiaGazette