Pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali

KUALA LUMPUR – Pengasas Rumah Bonda didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan mengabaikan seorang remaja perempuan sindrom down sehingga menyebabkan remaja itu mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Bagaimanapun, tertuduh, Siti Bainun Ahd Razali, 29, mengaku tidak bersalah ke atas pertuduhan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.

didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Irama Wangsa Kondominium, Jalan 3/27E, Seksyen 10, Wangsa Maju, di sini, antara Februari hingga Jun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

BACA ARTIKEL BERKAITAN: Pengasas Rumah Bonda Didakwa di Mahkamah KL

Kes dera remaja Sindrom Down, pengasas Rumah Bonda didakwa esok 

Kanak-kanak sindrom down positif Covid-19 disyaki didera 

Pemilik Rumah Bonda ditahan polis 

Mahkamah tolak reman pemilik Rumah Bonda 

Jika disabitkan kesalahan beliau boleh dihukum denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

Kes pendakwaan ke atas tertuduh dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Shakira Aliana Alias dan Siti Bainun  diwakili peguam, Aminahtul Mardiah Md Nor.

Noor Shakira menawarkan wang jaminan sebanyak RM20,000 terhadap Siti Bainun dengan memohon syarat tambahan dikenakan supaya beliau tidak menganggu mangsa serta saksi pendakwaan selain perlu melapor diri setiap bulan di balai polis berhampiran.

Seorang Pengasas Rumah Bonda hadir bersama peguambela bagi menghadapi pertuduhan kes penderaan kanak-kanak Sindrom Down yang dikenali Bella di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 20 OGOS 2021.

Sementara itu, Aminahtul Mardiah meminta mahkamah mengurangkan jumlah jaminan ke atas anak guamnya memandangkan beliau telah memberi kerjasama sepanjang proses siasatan polis selain mahu membersihkan namanya.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Izralizam menetapkan jumlah wang jaminan sebanyak RM12,000 dikenakan terhadap Siti Bainun dengan seorang penjamin.

Izralizam turut menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh tidak dibenarkan menganggu mangsa dan saksi pendakwaan, perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta diwajibkan melaporkan diri sekali setiap bulan di balai polis berhampiran.

Mahkamah menetapkan 4 Oktober ini sebagai tarikh sebutan kes untuk penyerahan dokumen. – MalaysiaGazette