Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Jalil Hassan. Foto HAZROL ZAINAL, 28 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Majistret Kuala Lumpur menolak permohonan reman pemilik Rumah Bonda yang ditahan polis semalam bagi membantu siasatan mendatangkan kecederaan yang membabitkan seorang remaja yang dikenali Bella selain melakukan ugutan jenayah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Jalil Hassan berkata, bagaimanapun pihaknya akan memanggil suspek wanita yang berusia 29 tahun itu untuk diambil keterangan.

“Ya saya boleh sahkan permohonan reman ke atas pemilik rumah bonda itu ditolak di mahkamah Majistret Kuala Lumpur pagi tadi.

“Dalam hal ini, kita akan memanggil individu itu selepas ini untuk mengambil keterangan daripadanya dalam membantu siasatan kes ini.

“Selepas itu kita akan membebaskan suspek dengan jaminan polis sementara kertas siasatan akan dilengkapkan oleh pegawai penyiasat untuk diangkat kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi arahan tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari tadi.

ARTIKEL BERKAITAN: 

Kanak-kanak sindrom down positif Covid-19 disyaki didera 

Kes Dera Anak Istimewa OKU, Rumah Bonda Disita #JKM 

Semalam suspek ditahan selepas memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur berikutan beberapa laporan polis dilakukan terhadap wanita itu.

Polis menyiasat kes itu di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mendatangkan kecederaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Sementara itu, Abd Jalil memberitahu, penjaga Bella yang dikenali bonda telah diambil keterangan bagi membantu siasatan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis selepas mengambil kira faktor kesihatannya yang tidak mengizinkan.

“Kertas siasatan ke atasnya akan dilengkapkan oleh pegawai penyiasat.

“Ia kemudian akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan seterusnya dalam siasatan kes berkenaan dan apabila dapat arahan kita akan bawa penjaga untuk tindakan selanjutnya (mahkamah).

“Sementara itu penjagaan Bella diambil alih Jabatan Kebajikan Masyarakat dan kini ditempatkan di rumah perlindungan dan diberi penjagaan oleh JKM bawah Perintah Perlindungan Sementara (IPO),” katanya.

Pada 6 Julai lalu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Saiful Annuar Yusof dalam kenyataan memaklumkan polis menerima laporan mengenai kes penderaan remaja perempuan berusia 13 tahun di sebuah rumah penjagaan di Wangsa Maju pada 24 Jun lalu.

Mangsa adalah orang kurang upaya (OKU) sindrom down mengalami kesan melecur di dada, tangan, leher dan paha serta kesan luka di bahagian badan lain.

Mangsa yang tinggal di sebuah kondominium sejak 14 Julai lalu dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemeriksaan lanjut.

Rumah penjagaan yang terletak di Taman Setapak, di sini, turut disita melalui perintah mahkamah yang dikeluarkan pada 5 Julai lalu.

Pelindung Unit Kanak-Kanak, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut mengambil tindakan terhadap enam kanak-kanak dengan mengeluarkan mereka daripada rumah penjagan itu.

Rumah penjagaan itu juga didapati beroperasi secara haram sejak 2019 dan tidak berdaftar dengan JKM. – MalaysiaGazette