PDRM logo police lockup death Benedict Thanilas
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR –  Pemilik Rumah Bonda ditahan polis semalam bagi membantu siasatan kes mendatangkan kecederaan dan ugutan jenayah.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, wanita berusia 29 tahun itu ditahan pada jam 10.30 pagi semalam.

Katanya, dia ditahan selepas diminta hadir ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bagi memberi keterangan susulan beberapa laporan polis yang dibuat terhadapnya.

“Kertas siasatan baharu telah dibuka dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mendatangkan kecederaan dan Seksyen 506, Kanun Keseksaan iaitu melakukan ugutan jenayah,” katanya memetik laporan Harian Metro di sini hari ini.

“Sehubungan itu, kita minta masyarakat untuk terus beri keyakinan kepada pasukan penyiasat PDRM untuk melaksanakan tugas mereka,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan remaja Sindrom Down berusia 13 tahun dikenali dengan nama Bella dipercayai didera di sebuah pusat kebajikan milik pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di ibu kota.

Rumah kebajikan terletak di Jalan Kukuban di Taman Setapak di sini turut dikenakan sita melalui perintah mahkamah yang dikeluarkan pada 5 Julai lalu.

Lanjutan itu Pelindung Unit Kanak-Kanak, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut mengambil tindakan terhadap enam kanak-kanak dengan mengeluarkan mereka daripada rumah kebajikan itu.

Rumah kebajikan ini juga didapati beroperasi secara haram sejak 2019 dan tidak berdaftar dengan JKM

Kisah menyayat hati itu mendapat perhatian seluruh rakyat Malaysia yang rata-ratanya bersimpati dengan nasib Bella dan mewujudkan tanda pagar #justiceforBella di media sosial.

Bella kini ditempatkan di Taman Sinar Harapan Tuanku Ampuan Najihah, Seremban, Negeri Sembilan. – MalaysiaGazette