Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan, Timbalan Superintendan Venlan Mindok

KUANTAN – Polis Kuantan akan terus memantau lorong tikus di Kampung Seberang Sungai Ular sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan, Timbalan Superintendan Venlan Mindok berkata, pihaknya telah mengenal pasti lorong tikus di sekitar kawasan terbabit bagi mengawal pergerakan penduduk yang terlibat.

Tambahnya, seramai  18 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarela Malaysia (Rela) betugas 24 jam di pos kawalan untuk mengawal laluan keluar masuk Kampung Seberang Sungai Ular.

“Kawasan di sini lebih kepada kawasan perkampungan jadi kebarangkalian wujudnya jajaran lorong tikus memang ada untuk lalulan keluar masuk.

Seramai 18 angoota petugas memantau PKPD di Kg. Seberang Sg. Ular, Kuantan dibantu oleh Pasukan Komuniti Prihatin

“Kami akan terus memantau dan mengenal pasti lorong tikus di kawasan kampung dan aktiviti keluar masuk supaya kes dapat diturunkan.

“Terlebih dahulu amaran dan teguran secara berhemah dilakukan, melainkan pelanggaran SOP yang berlaku menyalahi undang-undang maka tindakan kompaun dikeluarkan,” katanya.

Tambah beliau, pemantauan dibahagikan kepada tiga syif penugasan melibatkan enam anggota bermula 22 Ogos sehingga tamatnya PKPD pada 4 September ini.

ARTIKEL BERKAITAN :

PKPD tujuh lokaliti di Sabah, Kelantan dan Pahang mulai 21 Ogos ini

4,056 kotak makanan untuk penduduk PKPD Parlimen Paya Besar

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Seberang Sungai Ular, Samsul Azli Abdul Hamid berkata, pihaknya mengharapkan kerjasama Pasukan Komuniti Prihatin dapat membantu mengawal pergerakan penduduk, sekali gus mengurangkan kes yang direkodkan.

“PKPD di kawasan ini melibatkan 120 rumah dan 500 penduduk di sini akan dibantu oleh Pasukan Komuniti Prihatin untuk membantu sebarang keperluan penduduk di sini.

“PKPD dilakasanakan susulan dua kluster yang dikenal pasti terdiri daripada golongan industri hulu Balok dan Industri Gebeng yang merekodkan 39 kes aktif,” katanya. – MalaysiaGazette