13,000 bakul makanan diedarkan di sekitar Parlimen Paya Besar sejak bermula Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan 1.0 bermula 18 Mac tahun lalu.

KUANTAN – Sebanyak 4,056 kotak makanan akan diagihkan kepada penduduk yang terlibat di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di bawah Parlimen Paya Besar.

Ahli Parlimen Paya Besar, Mohd Shahar Abdulla berkata, kawasan yang menerima agihan kotak makanan ialah Taman Tas, Tas Ria, Pandan Permai, Batu 7 dan Lubuk Puyu.

Ini susulan tempoh PKPD  dilanjutkan selama dua minggu lagi di kawasan tersebut sehingga 13 Ogos depan.

Menurutnya, penduduk di kawasan itu dibekalkan tujuh barang asas keperluan dapur.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati lebih enam buah lori digunakan untuk mengangkut kotak makanan dan dibantu oleh pasukan sukarelawan di Dewan Abdul Manan Ismail seawal pagi tadi.

“Inisiatif ini bagi memastikan sekurang-kurangnya rakyat ada makanan di atas meja.

“Saya berharap bantuan makanan asas ini sedikit sebanyak akan membantu penduduk di Taman Tas untuk ‘survive’ sehingga habis PKPD.

“Kawasan yang telah selesai kawasan PKPD, kami akan berbincang dengan Jabatan Kesihatan untuk dapatkan komuniti kelompok yang kini melibatkan dua kawasan seramai 1,800 orang.

“Pusat Khidmat ahli Parlimen berada di kawasan Paya besar menerima bakul makanan sama ada mereka yang terjejas atau dikurantin, atau positif, layak terima.

Terdahulu, lebih daripada 13,000 bakul makanan diedarkan di sekitar Parlimen Paya Besarbermila tempoh Perintah Kawalan Pergerakan 1.0 bermula 18 Mac tahun lalu.

Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi Briged DUN Panching, Datuk Mohd Zaily Haji Besar berkata, pihaknya bangga dengan penglibatan sukarelawan yang terdiri daripada golongan belia di kawasan tersebut.

Katanya, seramai 50 sukarelawan turun padang, kesemuanya selesai mendapatkan suntikan vaksinasi  dan mendapat kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk proses sanitasi. – MalaysiaGazette