Peranan dan tanggungjawab anggota tentera kini sebagai petugas barisan hadapan turut berdepan dengan kebolehjangkitan Covid-19.

KUALA LUMPUR – Tentera Darat Malaysia (TDM) berhak memecat anggota tentera yang enggan mengambil suntikan vaksin Covid-19.

Menurut kenyataan Sel Perhubungan Raya Markas Tentera Darat Malaysia, sebagai anggota TDM, pengambilan suntikan vaksin adalah diwajibkan terutama sebelum melaksanakan sesuatu penugasan kecuali kepada mereka yang tergolong dalam kumpulan yang tidak layak untuk menerimanya.

Kata kenyataan itu, tindakan seseorang anggota tentera yang ingkar atau enggan menerima vaksin boleh menyebabkan mereka dikenakan tindakan tatatertib kerana ingkar perintah atau melanggar perintah tetap.

“Pengambilan vaksin dalam kalangan anggota TDM diwajibkan atas dasar anggota TDM hidup secara berkelompok.

“Selain itu, peranan dan tanggungjawab TDM kini sebagai petugas barisan hadapan dalam melaksanakan penugasan mahupun latihan, turut berdepan dengan kebolehjangkitan Covid-19.

“Sehubungan itu, adalah wajar untuk semua anggota TDM mengambil vaksin bagi mengekang penularan yang bukan sahaja akan berlaku dalam kalangan anggota TDM, bahkan boleh menjangkiti keluarga anggota TDM dan masyarakat keseluruhannya,” kata kenyataan itu kepada media, hari ini.

Media hari ini melaporkan, seorang anggota tentera berpangkat sarjan yang enggan mengambil suntikan vaksin Covid-19 mendakwa, “diberhentikan secara tidak terhormat”, selepas 19 tahun berkhidmat untuk negara tanpa sebarang rekod disiplin.

Wan Ramly Wan Seman, 39, dari Batalion ke-24 Rejimen Askar Melayu Diraja yang berpangkalan di Kem Rasa, Negeri Sembilan, bakal kehilangan pencen yang layak diperolehnya dalam tempoh 16 bulan lagi.

Arahan pemberhentian perkhidmatan terhadapnya dikeluarkan Kementerian Pertahanan dan akan berkuatkuasa 26 Ogos ini.

Mengulas lanjut, kenyataan itu berkata, pengambilan vaksin bagi setiap anggota tentera bertujuan mendokong hasrat dan aspirasi kerajaan untuk mencapai imuniti kelompok dan seterusnya memutuskan rangkaian penularan wabak Covid-19 di negara ini.

Setiap anggota TDM, kata kenyataan itu lagi, hendaklah mematuhi dan menuruti perintah yang telah dikeluarkan bagi menentukan misi dan kesiapsiagaan organisasi tercapai. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast