KPDNHEP terlibat dalam operasi pemeriksaan SOP PPN dalam kalangan peniaga.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak akan berkompromi lagi kepada mana-mana peniaga yang mengingkar prosedur operasi standard (SOP) di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Denda RM10,000 menanti peniaga melanggar SOP dan ia dikeluarkan serta merta sebagai langkah pencegahan, kata kata Timbalan Pengarah Penguat Kuasa (Operasi) Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP),  Shamsul Nizam Khalil.

Menurutnya, ia amaran KPDNHEP bagi memerangi Covid-19 dengan meningkatkan pemantauan pematuhan SOP di bawah Akta 342 terhadap 22 sub-sektor perdagangan dan pengedaran yang baharu dibenarkan beroperasi bagi negeri-negeri di Fasa 1, 2 dan 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) di bawah pelaksanaan Ops Samar.

“Pengenaan kompaun adalah untuk memastikan peniaga dan pengguna serius mematuhi SOP sepenuhnya demi keselamatan serta kesihatan rakyat sepanjang Negara menghadapi cabaran pandemik Covid-19,” kata Shamsul dalam kenyataan hari ini.

Justeru KPDNHEP telah menggerakkan semua pegawai penguat kuasanya menjalankan pemantauan  setiap hari di seluruh negara supaya pembukaan 22 sektor tambahan itu tidak menjadi penyumbang kepada penularan semula pandemik.

Tambah beliau, pemeriksaan pematuhan SOP PPN yang dijalankan sepanjang dua hari lalu sekitar Pulau Pinang, sebuah Negeri Fasa 2 PPN mendapati secara keseluruhannya pematuhannya memuaskan.

“Bagaimanapun, KPDNHEP telah mengenakan kompaun sejumlah RM10,000 terhadap pemilik premis di sekitar Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang secara serta merta di atas kesalahan premis gagal mempamerkan jumlah had maksimum pelanggan.

“Tindakan pengkompaunan secara serta merta yang telah dikenakan ke atas premis di Pulau Pinang tersebut sebagai mesej kepada peniaga tentang keseriusan dan komitmen KPDNHEP dalam melaksanakan Ops Samar untuk memantau pematuhan SOP PPN di seluruh negara,” katanya.

Sejumlah 737,821 premis telah diperiksa dan sejumlah 840 kes kompaun telah dikenakan ke atas pesalah yang tidak mematuhi SOP yang ditetapkan dengan nilai kompaun sejumlah RM4,464,000 sejak pelaksanaan penguatkuasaan yang dibuat oleh KPDNHEP terhadap pematuhan SOP PKP Akta 342 digerakkan pada 13 Mei 2020 sehingga 22 Ogos 2021.

Malah katanya, berdasarkan statistik tersebut, pematuhan dalam sektor perdagangan pengedaran berada di tahap yang amat memuaskan di mana 98.74 peratus premis patuh kepada SOP ditetapkan manakala 0.08 peratus  dikenakan kompaun dan selebihnya 1.06 peratus diberi amaran.

Beliau juga memaklumkan pembukaan sektor perdagangan dan pengedaran merupakan satu usaha dan tanggungjawab bersama bagi tujuan merancakkan dan memulihkan semula ekosistem ekonomi domestik.

Beliau juga mengingatkan ia bukan suatu kebebasan tanpa kawalan untuk peniaga mengabaikan SOP yang telah ditetapkan dalam tempoh Negara dilanda pandemik.

“KPDNHEP meminta semua pihak berkerjasama untuk merancakkan dan memulihkan semula ekonomi domestik dengan tidak mengabaikan pematuhan SOP PPN yang sedang berkuatkuasa kerana ia adalah tanggungjawab bersama,” tegasnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast