KUALA LUMPUR – Institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan digalakkan mengambil langkah proaktif dalam usaha mengubah dan membentuk generasi masa hadapan menerusi pendidikan tinggi dengan penawaran program akademik lebih fleksibel.
Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, pandemik Covid-19 banyak mengajar masyarakat mengenai gaya hidup dan kerja bukan konvensional yang lebih dikenali sebagai norma baharu, di mana dunia pendidikan turut tidak terkecuali.
Katanya, dalam mendepani dunia VUCA yang merujuk kepada volatile (bergejolak), uncertain (tidak pasti), complex (kompleks) dan ambiguity (tidak jelas), kini mod pengajian yang lebih ‘mesra pengguna’ adalah diperlukan.
“Dijangkakan pengajaran dan pembelajaran (PdP) pada masa akan datang tidak lagi bersifat konvensional yang mana pelajar menghabiskan masa selama tiga ke empat tahun secara terus-menerus untuk mengikuti sesuatu program.
“Perkara itu mungkin berubah dan pelajar akan diberikan pilihan bila mereka akan bergraduat, namun penawaran mod sebegini menuntut transformasi secara holistik daripada IPT tempatan untuk menjayakannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai trend penawaran program akademik di IPT yang perlu lebih dinamik dan bersesuaian dengan keperluan semasa.
Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, IPT perlu bersedia dalam menghadapi senario berkenaan dan dalam konteks ini, MQA telah menyediakan pelbagai inisiatif bagi membantu merealisasikan agenda terbabit.
Beliau berkata, dengan menyediakan panduan kursus bersifat ‘micro-credential’ dan menggalakkan pengajian sepanjang hayat menerusi Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL), pengajian fleksibel boleh dijadikan realiti.
Katanya, beliau yakin ramai dalam kalangan anak muda serta masyarakat akan mempunyai lebih pilihan untuk mendapatkan sijil akademik yang dihajati, dan pada masa sama boleh merancang struktur dan tempoh pengajian mereka.
“Pilihan seperti ini wajar diberikan kepada pelajar sekiranya IPT tempatan mahu bersaing di persada nasional dan global seterusnya menyaksikan kualiti pendidikan masyarakat kita meningkat.
“MQA menjangkakan fenomena ini akan berlaku sama ada kita suka atau tidak, justeru IPT perlu bersedia untuk berhadapan situasi ini menerusi inovasi pendidikan, perubahan minda serta cara kerja yang lebih kreatif,” katanya.
Mohammad Shatar berkata, sekiranya tidak bersedia menyediakan fleksibiliti sedemikian, dikhuatiri IPT tempatan tidak mampu bersaing di peringkat antarabangsa kerana ada universiti luar negara yang sudah menawarkannya.
“Dengan mod PdP yang kini bersifat digital, IPT tempatan boleh memasarkan program akademik mereka ke pasaran antarabangsa secara lebih meluas dan tanpa sempadan.
“Pelajar antarabangsa pula mungkin sudah tidak perlu berada sepenuh masa di Malaysia, sebaliknya boleh menyambung pengajian secara dalam talian,” katanya. – MalaysiaGazette