KUALA LUMPUR – Pelakon Remy Ishak dan isterinya, Ezza Yusof menjadi pasangan pengantin baharu amat bertuah apabila menerima hadiah perkahwinan paling istimewa dalam hidup mereka selepas mendapat kiriman khas daripada Istana Negara.

Kiriman dibalut dalam kotak berwarna kuning itu adalah hadiah daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Abdullah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Menerusi status di laman Instagramnya, Remy berkongsi sebuah video memaparkan beliau dan isterinya mendapat beberapa kotak hadiah daripada Istana Negara.

“Patik dan isteri merafak sembah menjunjung kasih kepada Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah atas hadiah perkahwinan daripada Istana Negara kepada kami berdua.

“Kami mendoakan kesejahteraan dunia dan akhirat serta limpah kurnia Allah buat Tuanku dan Tunku,” tulisnya tadi.