YAN – Kedai menjual barangan perkakasan antara yang menjadi tumpuan penduduk ketika ini ekoran fenomena kepala air yang membadai kawasan sekitar daerah ini pada Rabu lalu.
Tinjauan MalaysiaGazette mendapati kebanyakan penduduk mengunjungi kedai yang terletak di Pekan Yan untuk membeli alatan membersihkan rumah susulan rata-rata kediaman dipenuhi dengan lumpur.
Antara yang laris ialah kasut getah, penyodok tanah, paip getah, berus, mop, penyapu, serta pam jet air.
Seorang pemilik kedai perkakasan, Chan Huan Tau, 47, berkata, dia terpaksa membuat pesanan berganda membabitkan barang membersihkan rumah ketika ini ekoran ada permintaan daripada penduduk setiap hari.
“Sekurang-kurangnya 15 pam jet air dibeli penduduk sehari dan itu belum masuk kasut getah, penyodok tanah serta lain-lain.
“Hari biasa hanya satu atau dua sahaja barangan ini terjual namun ekoran fenomena kepala air yang melanda kawasan sekitar Yan ini menyebabkan barang seperti ini laris sehingga saya terpaksa membuat pesanan semula kerana kehabisan stok,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette.
Tambah Huan Tau, premisnya turut terkena tempias akibat kejadian itu dan dia memakan masa empat hari untuk membersihkannya.
“Dalam tempoh membersihkan premis penduduk kampung datang untuk membeli barang dan saya terpaksa jual memikirkan keadaan mereka yang memerlukan barang pembersihan untuk rumah masing-masing.
“Dalam tempoh tiga hari kami sudah kehabisan stok ekoran permintaan yang tinggi dan hari ini kami beroperasi sepenuhnya selepas pihak pembekal menghantar stok baru yang dipesan,” ujar Huan Tau.
Sementara itu, pemilik kedai runcit, Tan Seon Kheng, 65, berkata, penyapu, berus serta penyodok tanah paling laris di kedainya sejak hari kejadian kepala air itu.
“Memandangkan keadaan kedai kami tinggi sikit tak banyak barang rosak jadi bekalan yang ada cukup untuk menampung keperluan penduduk ketika itu.
“Bagaimanapun, sejak dua-tiga hari ini permintaan kian tinggi mungkin disebabkan orang sudah mulakan kerja-kerja pembersihan secara menyeluruh sekali gus kami terpaksa membuat pesanan tambahan kepada pihak pembekal.
“Berapa banyak yang terjual itu saya tak ingat untuk memperincikannya tetapi boleh dikatakan puluhan bagi setiap satu jenis barang,” katanya yang sudah 23 tahun menguruskan perniagaan tersebut. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Banjir kilat akibat kepala air sebabkan kerosakan kawasan sekitar Yan