KUALA LUMPUR – Selepas lebih sebulan melahirkan anak sulungnya secara pramatang atau tidak cukup bulan, Dayana Roza tampil memaklumkan perkara bahagia itu kepada media
Dayana atau nama sebenar, Nur Dayana Kamsun Baharin selamat melahirkan bayi perempuan secara normal diberi nama Astrid Raheeya pada 20 Julai lalu yang juga jatuh pada sambutan Aidiladha.
Kata isteri kepada A’dale Adham Ayahudin itu, dia sepatutnya melahirkan anaknya bulan depan.
“Alhamdulillah keadaan serta kesihatan saya dan anak semuanya okey. Anak sulung saya dilahirkan dengan berat 2.4 kilogram pukul 11 malam di sebuah hospital swasta di ibu kota.
“Keadaan hingga saat ini semua terkawal. Cuma ikutkan perihal lahir tak cukup bulan ini sudah jadi perkara biasa dalam hidup keluarga saya.
“Saya sendiri lahir tak cukup bulan. Malah adik saya pun mengalami situasi sama seperti saya dan anak. Jadi saya rasa tak pelik. Cuma syukur tak ada komplikasi apa-apa dekat anak saya,” katanya.
Lebih melucukan, sebelah siang sebelum melahirkan anaknya, Dayana mengakui begitu rancak menikmati hidangan makanan raya.
“Saya bedal macam macam termasuk lemang, rendang dan sebagainya. Sebelah petang sebelum dimasukkan ke hospital, saya sebenarnya mengalami pendarahan. Tapi tidaklah teruk sangat.
“Hinggalah membawa ke malam saya selamat melahirkan anak. Takut juga sebab saya lahir tak cukup bulan bimbang apa-apa terjadi. Tapi semua baik baik saja. Seminggu juga saya bermalam di hospital,” katanya.
Pelakon yang digilap bakat menerusi program realiti, Anak Wayang, sempat berkongsi cerita yang emosinya sendiri tidak stabil ketika hamil.
“Mujur juga emosi itu tak terbawa bawa lepas saya melahirkan anak. Masa berbadan dua, saya akui agak stres. Tak pasti apakah ia ada kaitan dengan situasi semasa Covid-19 atau perkara lain.
“Saya mula fikir bukan bukan ketika itu. Sekarang saya nak berehat betul betul dan beri tumpuan penuh dekat anak. Harap suami tak cemburu pula,” selorohnya.
Kata Dayana lagi, ketika hamil, dia juga mula mengamalkan pengambilan minuman susu kambing selain makanan tambahan lain.
“Malah hingga sekarang saya terus amalkan rutin minum susu kambing dan makanan tambahan itu. Lagipun saya menyusu badan dan perlu banyak tenaga serta khasiat untuk diri sendiri serta anak,” katanya.
Ditanya mengenai nama anak yang dipilih, ia adalah keputusan bersama suaminya.
“Astrid itu kalau dicari maksudnya di internet membawa maksud keindahan dan kekuatan. Raheeya pula diambil daripada nama arwah ibu suami saya.
“Cuma ejaan asal arwah ibu mentua dieja Rahiya. Tapi saya ubah ejaannya jadi Raheeya dan membawa maksud seperti setia serta penyayang,” katanya.
Dayana dan A’dale bernikah pada 25 Disember tahun lalu. – MalaysiaGazette