Potensi kawasan Felda bukan sahaja terhad kepada penanaman sawit tetapi potensinya

KUALA LUMPUR – Kemewahan hasil industri perladangan dan komoditi seperti sawit, getah, kayu kayan, koko, lada dan kenaf di negara ini tidak boleh dinafikan lagi.

Sebelum merdeka sehingga hari ini, struktur industri komoditi negara telah mengalami perubahan daripada sebuah negara pengeluar bahan mentah komoditi kepada pengeluar produk-produk hiliran bernilai tambah tinggi yang berorientasikan pasaran.

Lebih membanggakan industri komoditi negara kekal berdaya saing dan menyumbang kepada pencapaian hasrat kerajaan menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi.

Malah momentum pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara terus stabil disokong oleh eksport yang kukuh dan peningkatan harga komoditi.

Gambar hiasan

Menjelang ulang tahun kemerdekaan negara ke-64 pada 31 Ogos ini, rakyat perlu bersyukur kerana negara masih kaya dengan hasil perladangan dan komoditi.

Pastinya nikmat ini adalah hasil perjuangan orang-orang terdahulu yang membolehkan masyarakat dapat mewarisi sebuah negara yang begitu kukuh seperti hari ini.

Perlu diakui Malaysia adalah sebuah negara yang bertuah kerana mewah dengan sumber hasil perladangan dan kejayaan menguruskan sumber itu adalah kebijaksanaan kerajaan hari ini.

Perkembangan pesat sektor perladangan dan komoditi di Malaysia boleh dikaitkan dengan keadaan alam semula jadi yang mempunyai tanah yang subur, corak taburan hujan yang baik dan bekalan air mencukupi untuk pertumbuhan tanaman.

Kini, hasil ladang seperti sawit, getah dan koko telah menjadi komoditi besar negara. Permintaan produk negara kian meningkat dengan peningkatan populasi rakyat tempatan dan perkembangan pasaran global.

Video Jiwa Merdeka dihasilkan oleh Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi

Bagi menghayati semangat kemerdekaan tahun ini, satu video mengisahkan tentang bagaimana komoditi menyumbang kepada negara dan membuat kita bangga menjadi warganegara Malaysia.

Video berdurasi lima minit yang dilakonkan oleh pelakon cilik seperti Nik Harraz Nik Yusoff, Nik Qistina Hatifah dan Rahul Iskandar telah membuka minda bagaimana hasil komoditi berjaya menyuntik semangat patriotik sehingga negara mampu mengeluarkan produk buatan sekaligus serta menjana ekonomi negara.

Video yang dihasilkan oleh Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi dengan kerjasama Malaysian Palm Oil Council, Malaysian Rubber Council dan Malaysian Timber Council. – MalaysiaGazette