Sijil vaksin
Orang awam diperiksa sijil lengkap dua dos suntikan vaksin Covid-19 terlebih dahulu sebelum menjamu selera di gerai makan pada hari pertama susulan pengumuman negeri-negeri Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dibenarkan aktiviti dine-in bagi mereka yang telah menerima suntikan dua dos vaksin Covid-19 mulai hari ini ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kedai Makan Kampung Style, Hulu Langat, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 20 OGOS 2021.

TAWAU – Penerima vaksin dos pertama di Sabah dijangka bakal mencapai 60 peratus menjelang September ini.

Manakala penerima dos kedua pula disasarkan akan melebihi 60 peratus berikutan bekalan vaksin CanSino untuk negeri itu  yang telah diuar-uarkan baru-baru ini.

“Kerajaan Negeri juga yakin bahawa dengan adanya tambahan vaksin CanSino untuk negeri Sabah, maka sasaran untuk mencapai lebih 80 peratus penduduk dewasa Sabah lengkap menerima vaksin boleh dicapai sebelum penghujung Oktober ini.

“Begitu juga kadar pengunaan katil di hospital-hospital adalah mencukupi walau pada kadar yg tinggi namun perancangan untuk mengatasinya telah disediakan oleh pihak Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Malah, begitu juga dengan penggunaan ventilator yang masih dalam keadaan mencukupi,” kata Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Shahelmey Yahya, menerusi kenyataan.

Dalam masa yang sama, beliau menempelak dakwaan parti pembangkang di negeri itu bahawa kerajaan negeri Sabah dilihat lemah dalam menangani penularan Covid-19 yang dilihat semakin meningkat sejak kebelakangan ini.

Sebaliknya beliau berkata,  kerajaan negeri sentiasa dan bekerjasama dengan  KKM dan JKNS untuk menangani penularan wabak berkenaan.

“Kenyataan media itu adalah lebih bersifat bermain sentimen politik tanpa kesudahan dalam negeri dan negara mengharungi pandemik Covid-19.,”katanya lagi.

Beliau berkata demikian merujuk kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin pembangkang iaitu Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Shafie Apdal dan Pengerusi DAP Sabah, Datuk Frankie Poon baru-baru ini yang mendakwa kerajaan negeri lemah menangani Covid.

Semalam, Shafie mendakwa pemberian vaksin di Sabah berada dalam kedudukan tercorot berbanding negeri lain.

Mengulas lanjut Shahelmey yang juga Exco Kesihatan negeri itu berkata, peningkatan kes positif sejak kebelakangan adalah hasil daripada saringan-saringan yang telah dibuat.

Justeri, beliau menyeru meminta semua pihak termasuklah pemimpin-pemimpin pembangkang  sepatutnya memainkan peranan dalam program imunisasi di Sabah.

“Berehatlah seketika dari asyik menuding jari, kerana semasa Warisan dan sekutunya menjadi kerajaan negeri, situasi jangkitan Covid-19 pada tahun lalu adalah berlainan dari yang dihadapi sekarang,” ujar beliau.

Sementara itu, Shahelmey berkata  kadar pemberian vaksin terkini di Sabah  ditingkatkan ke tahap optima lebih 50,000 dos sehari.

Jelasnya, ia berikutan sambutan yang menggalakkan dalam kalangan penduduk negeri itu untuk mengambil vaksin. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast