Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu keluar dari Pintu 2 Istana Negara selepas Istiadat Angkat Sumpah Anggota Kabinet di Istana Negara, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 30 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Istiadat mengangkat sumpah jawatan menteri dan timbalan menteri oleh ahli- ahli Parlimen di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berakhir selepas dua jam berlangsung di Istana Negara petang ini.

Kenderaan kerajaan yang membawa kesemua ahli Parlimen berkenaan dilihat bergerak keluar dari Pintu 2, Istana Negara pukul 4.30 petang.

Beberapa menteri dan juga timbalan menteri dilihat tersenyum sambil melambai kearah petugas media yang melaporkan perkembangan di luar Istana Negara.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali keluar dari Pintu 2 Istana Negara selepas Istiadat Angkat Sumpah Anggota Kabinet di Istana Negara, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 30 OGOS 2021.

Hari ini, seramai 31 menteri dan 38 timbalan menteri  mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara hari ini.

Bagaimanapun, seorang daripada timbalan menteri, Mohamad Alamin yang merupakan Timbalan Menteri Pendidikan 2, tidak dapat hadir selepas disahkan positif Covid-19.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa keluar dari Pintu 2 Istana Negara selepas Istiadat Angkat Sumpah Anggota Kabinet di Istana Negara, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 30 OGOS 2021.

Istiadat yang dijadualkan bermula pukul 2.30 petang itu turut dihadiri Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Sementara itu, Ismail Sabri juga tidak dapat menghadirinya  kerana menjalani kuarantin kendiri bermula hari ini selepas disahkan kontak rapat kepada pesakit Covid-19.

Pada Jumaat lalu, Perdana Menteri mengumumkan 31 menteri dan 38 timbalan menteri dibawah Kabinetnya di mana majoriti adalah muka lama ketika era pentadbiran Muhyiddin. – MalaysiaGazette