SUNTIKAN semangat kemerdekaan di kalangan anak-anak amatlah wajar dilakukan oleh ibu bapa di rumah di fasa pandemik ini.
Siapa lagi nak diharapkan. Kalau dulu pihak sekolah menyediakan pelbagai program sepanjang bulan kemerdekaan yang bermula dengan ambang merdeka, kemuncak merdeka dan berakhir dengan majlis penutup pada hari Malaysia.
Selain program pengisian tentang sejarah dan pahlawan-pahlawan negara, pertandingan juga turut diadakan di peringkat sekolah.
Pastinya dengan mengikuti aktiviti di sekolah, anak-anak akan merasai bahang merdeka. Pastinya akan tertanam di dalam jiwa anak-anak semangat merdeka. Dan pastinya juga akan tersemai perasaan cinta akan tanah air di dalam diri mereka.
Pada tahun ini, sambutan bulan kemerdekaan masih diadakan di peringkat sekolah, namun aktivitinya terhad.
Tiada lagi aktiviti kibaran bendera beramai-ramai di sekolah. Tiada lagi persembahan lagu patriotik, tiada lagi pentomin kemerdekaan di pentas-pentas.
Yang ada hanya kibaran bendera secara solo di hadapan skrin dan persembahan solo yang divideokan. Itu pun kalau anak-anak punya keinginan yang tinggi untuk melakukan kesemuanya.
Atas sebab itulah, ibu bapa perlu memainkan peranan menyuntik semangat kemerdekaan kepada anak-anak di rumah. Ibu bapa perlu memainkan peranan di rumah, mengajak anak-anak melakukan aktiviti bertemakan kemerdekaan.
Antara yang boleh dilakukan ialah bercerita kepada anak-anak pahlawan-pahlawan Melayu tersohor, menonton filem bersama anak-anak seperti filem Bukit Kepong, Leftenan Adnan dan lain-lain.
Ibubapa juga perlu mengambil peranan menggalakkan anak-anak menyertai pertandingan-pertandingan bertemakan kemerdekaan.
Terdapat pelbagai pertandingan diadakan secara dalam talian, dikendalikan oleh badan-badan kerajaan dan juga bukan kerajaan seperti pantun keluarga merdeka, deklamasi sajak merdeka, basikal berhias, swafoto, video kreatif merdeka dan lain-lain. Ia adalah sebagai salah satu jalan menyuburkan semangat kemerdekaan di dalam jiwa mereka.
Selain pertandingan, banyak juga cabaran kemerdekaan yang boleh disahut oleh setiap keluarga seperti kibarkan jalur gemilang di rumah, memasak makanan tradisional dan swafoto momen indah keluarga di bulan kemerdekaan.
Ini bukan sahaja mampu menyemarakkan semangat kemerdekaan malah mampu merapatkan hubungan sesama ahli keluarga.
Biro Keluarga dan Masyarakat Ikatan Muslimin Malaysia juga menyediakan pelbagai aktiviti kemerdekaan kepada seluruh lapisan masyarakat.
Antaranya ialah cabaran Kapsul Keluarga Bahagia, sembang santai Syurga Keluarga Kita dan juga pertandingan Pantun Merdeka Keluarga Kreatif. Aktiviti ini boleh dilakukan bersama-sama ahli keluarga.
Program untuk anak- anak berumur 7-12 tahun juga turut disediakan oleh Kelab Anak Hebat Nazim iaitu Doodle Merdeka, Squishy Merdeka, Semarak Merdeka juga Malaysia Tanah Airku bersama Abang Tanjak. Selain itu pelbagai pertandingan juga turut diadakan seperti mewarna, deklamasi sajak, basikal berhias, membina replika, kolaj bunga raya dan lain-lain.
Kepada semua ibu bapa, marilah kita bersama-sama memupuk semangat kemerdekaan di kalangan anak-anak dan seluruh ahli keluarga agar lahir dari keluarga kita anak-anak yang berjiwa merdeka dan seterusnya akan lahir sebuah masyarakat yang berjiwa merdeka.